BANGI, 19 JAMADILAWAL – Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menegur kerajaan negeri Kedah berhubung penggunaan bahasa asing dalam kempen pelancongan negeri, sekali gus mengingatkan agar mengambil pengajaran daripada kontroversi “I Lite U” sebelum ini yang tidak menggunakan bahasa Melayu.
Katanya, beliau sempat mendengar sepintas lalu pembentangan Belanjawan Negeri Kedah 2026 dan mendapati beberapa kempen dalam bahasa Inggeris menimbulkan tanda tanya.
Antaranya termasuk “the Greater Kedah”, “The Pearl of Kedah” dan “Experience Kedah”, seolah-olah tidak ada ayat atau istilah dalam bahasa Melayu.
“Adakah kita nak mengajar pelancong bahasa Inggeris? Jika ramai pelancong China, perlukah kita tukar kempen dalam bahasa Cina, walaupun bilangannya begitu ramai? Sudah tentu tidak, kerana ini adalah negara/negeri berasaskan sistem kenegaraan Melayu, yang mendaulatkan Melayu.
“Rujuklah Perlembagaan. Kita langsung tidak mengambil iktibar daripada kempen Tahun Melawat Malaysia, Kuala Lumpur, I Lite U, DBKL dan KPKT,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kempen berbahasa asing itu seolah-olah mengajar pelancong bahasa Inggeris terlebih dahulu.
“Adakah kita mahu mengajar pelancong Bahasa Inggeris? Sudah tanduskah kamus dalam Bahasa Melayu untuk diperkenalkan kepada pelancong? Kita masih dijajah,” soalnya lagi.
Ridhuan Tee turut menekankan bahawa negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu seharusnya mendaulatkan Bahasa Melayu.
“Sama juga ketika kita menjadi kepengerusian ASEAN, bahasa pertamanya di daulatkan adalah Bahasa Melayu, kemudian baharu diikuti bahasa asing. Ini adalah sesuatu yang normal,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Justeru, beliau mengingatkan kerajaan negeri agar mengutamakan Bahasa Melayu dalam semua kempen pelancongan Kedah.
“Masih belum terlambat. Kalau mahu terus menggunakan ‘the Greater’, dahulukan dahulu versi Bahasa Melayu – Hebatnya Kedah, Mutiara Kedah, Experience Kedah, atau Ingatanku Bersamamu Kedah… Pembangkang Kedah, mesti sukakan,” katanya.
Projek I Lite U sebelum ini menerima kecaman apabila nama “I Lite U” dilihat terlalu menekankan penggunaan bahasa Inggeris dan kurang memaparkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, isu yang kembali menyentuh persoalan identiti nasional dan penggunaan bahasa dalam promosi negara.
Projek berkenaan dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan menganjurkan pencahayaan bandar di kawasan Bukit Bintang sebagai sebahagian daripada persiapan menyambut kempen pelancongan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi