Sepatutnya tong gas ungu untuk restoran mewah, hijau untuk penjaja: PAS

BANGI, 2 ZULHIJJAH — Kerajaan sepatutnya hanya menguatkuasakan penggunaan tong gas komersial (warna ungu) kepada restoran mewah dan terus membenarkan tong gas bersubsidi (warna hijau) kepada penjaja.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, penggunaan tong gas komersial tidak sepatutnya membabitkan peniaga secara keseluruhan.

“Boleh mulakan dengan penguatkuasaan kepada restoran mewah dulu. Ada pun restoran dan penjaja tepi jalan, benarkan mereka terus guna tong gas bersubsidi. Bukan banyak pun kos subsidi gas,” katanya dalam tulisan di laman Facebooknya. 

Beliau memberi perbandingan dengan tindakan kerajaan mengenepikan tunggakan cukai dan denda Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebanyak RM83 juta.

“PMX (Perdana Menteri ke-10) boleh hapuskan sekelip mata, subsidi gas untuk restoran dan penjaja kecil tak boleh nak dikekalkan? Batal dulu arahan ini wahai PMX. Kasihan kepada rakyat. Mereka sudah terseksa sangat dengan Kerajaan Ketimbang,” katanya,

Beliau berkata, PMX pernah berjanji `bulan dan bintang’ untuk rakyat seperti penurunan harga minyak, kos sara hidup dan harga barang, tetapi apabila berkuasa, semua yang dijanjikan tidak berlaku. 

Katanya, kekecohan sekarang berlaku apabila restoran dan penjaja tidak lagi boleh menggunakan tong gas bersubsidi dan sebaliknya perlu menggunakan tong gas komersial. 

Beliau mendakwa arahan telah dikeluarkan kepada syarikat pembekal gas bersubsidi seperti Petronas untuk tidak membenarkan ejen syarikat membekalkan gas bersubsidi kepada restoran dan peniaga kecil sejak 30 April lalu. 

“Alasan kerajaan adalah hendak menyekat salah guna subsidi LPG yang ditanggung kerajaan. Sekali baca memang bagus, tapi kalau fikir balik, siapa yang akan menjadi mangsa jika restoran dan penjaja menaikkan harga jualan. Sudah tentu rakyat marhaen dan golongan bekerja.

“Cuba bayangkan, sekarang mereka guna tong gas bersubsidi berharga RM26, tiba-tiba perlu guna tong ungu berharga RM70,” katanya. 

Jika sehari  menggunakan tiga tong gas, katanya kenaikan yang ditanggung adalah RM132 sehari atau RM4,092 sebulan dan jika kos peniaga dan penjaja meningkat, sudah tentu harga jualan meningkat menyebabkan rakyat marhaen dan golongan berkerja yang akan menerima tempias kenaikan harga. 

“Kita bukan bercakap pasal restoran mewah berharga ratusan ringgit. Kita bercakap pasal restoran makan tengah hari lauk campur, restoran goreng ala Thai dan peniaga pisang goreng tepi jalan. Apakah kerajaan tidak fikir dulu semua ini sebelum menaikkan harga?,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Cadangan gencatan senjata AS umpama ‘sambungan pembunuhan’ di Gaza

Next Post

Parti arak di hotel: JAKIM takkan kompromi, kerjasama dengan KPDN diperkukuh

Related Posts