Jangan biarkan mulut lebih laju daripada akal

BANGI, 13 JAMADILAWAL – Kejadian membabitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang melenting terhadap wartawan ketika sidang media baru-baru ini, masih menjadi bualan ramai meskipun beliau sudah tampil memohon maaf.

Mengikut perbahasa Melayu, nasi sudah menjadi bubur atau terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Permohonan maaf meskipun wajar dan dialu-alukan, datang selepas reputasi serta imejnya tercalar, bukan sahaja di mata media tetapi  dalam penilaian awam terhadap keperibadian seorang menteri.

Rakyat mungkin boleh memaafkan, tetapi sukar melupakan bagaimana seorang anggota Kabinet boleh bertindak begitu terhadap wartawan yang hanya menjalankan tugas.

Semuanya bermula apabila Kor Ming bersikap konfrontasi terhadap wartawan kerana mengajukan soalan berhubung penggunaan bahasa Inggeris sebagai usaha mempromosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, iaitu slogan ‘I Lite U’.

Tindakan itu dirakam dan tular pantas di media sosial, mengundang kecaman luas bukan saja daripada kalangan pengamal media, tetapi masyarakat secara keseluruhan.

Sebenarnya, kejadian begini bukan perkara baharu. Ada saja pemimpin sebelum ini yang bersikap begitu terhadap wartawan, tetapi zaman sudah berubah.

Jika dulu, hanya wartawan dan mereka yang berada di lokasi kejadian akan mengetahui keceluparan yang berlaku, tetapi hari ini, rakaman video dengan mudah disebarluaskan  di media sosial.

Walaupun akhirnya mengakui kesilapan dan menyatakan rasa kesal, permohonan maaf  Kor Ming datang selepas tekanan masyarakat semakin memuncak. Ia menunjukkan bahawa menteri berkenaan tidak menyedari pada awalnya kesan besar tindak-tanduknya terhadap imej kerajaan dan hubungan kerajaan–media.

Dalam konteks perhubungan awam, wartawan bukan musuh yang harus dijadikan lawan untuk bergaduh dan diperlekehkan. Mereka adalah perantara antara rakyat dan pemerintah, berperanan menyalurkan maklumat, bertanya bagi mendapatkan penjelasan, serta menegur apabila berlaku kecelaruan.

Tanpa wartawan, menteri mungkin hidup dalam ruang hanya mendengar apa yang mereka mahu dengar. Mendengar yang baik-baik dan indah-indah.

Tindakan Kor Ming adalah sesuatu yang amat tidak wajar bagi seorang pemimpin kerajaan. Dalam keadaan negara berdepan pelbagai tekanan ekonomi dan sosial, rakyat mahu melihat pemimpin yang berjiwa besar, bukan mudah melenting apabila ditanya perkara yang sebenarnya boleh dijawab dengan mudah.

Apa yang berlaku membuka semula perbincangan tentang etika komunikasi pemimpin. Ramai berpendapat sudah tiba masa setiap menteri dan pegawai kanan kerajaan mengikuti latihan komunikasi media secara berkala, bukan semata-mata untuk menggilap imej, tetapi bagi memastikan mereka mampu berinteraksi dengan wartawan dengan penuh hormat dan matang.

Begitu juga peranan penasihat menteri, terutama setiausaha akhbar untuk memberi dimensi yang betul ketua mereka terhadap sesuatu isu dan cara berkomunikasi yang bijaksana dengan wartawan.

Wartawan pula tidak perlu gentar. Soalan yang tajam bukan tanda tidak sopan, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab memastikan akauntabiliti kerajaan tidak terabai. 

Jika seorang menteri tidak dapat berdepan dengan soalan, bagaimana beliau mahu berdepan dengan realiti rakyat yang jauh lebih mencabar?

Permohonan maaf Kor Ming tidak harus menutup isu sebenar, iaitu seorang menteri perlu berdisiplin dalam tutur kata dan menghormati peranan media. Keangkuhan bukan hanya mencemar diri sendiri, tetapi menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang diwakilinya.

Dalam hal ini, walaupun sudah memohon maaf, kesan kejadian itu akan kekal sebagai pengajaran kepada sesiapa, iaitu jangan biarkan mulut lebih laju daripada akalnya.

Oleh: Ziauddin Sharuddin, Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kuota petrol 800 liter, syarat perjalanan 5,000km tidak realistik untuk pemandu e-hailing – TPAD

Next Post

Perpecahan umat buka laluan musuh kuasai hasil bumi Islam

Related Posts