BANGI, 11 JAMADILAWAL – Tidak adil untuk mengatakan semua rakyat Malaysia ‘teruja’ dengan kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia, kata Pengerusi BDS Malaysia. Prof Dr Mohd Nazari Ismail.
Beliau berkata, meskipun faham terhadap luahan rasa kecewa pengguna media sosial warga Palestin yang mengkritik sambutan meriah Trump sebaik tiba di Malaysia pada minggu lalu, beliau menegaskan bahawa itu bukan pendirian kebanyakan rakyat Malaysia.
Tegas beliau, majoriti rakyat Malaysia menyokong perjuangan Palestin dan tidak bersetuju apabila diumumkan Trump akan hadir di ibu negara sempena Persidangan ASEAN baru-baru ini.
“Saya faham kenapa orang Palestin itu meluahkan perasaan kecewa dia. memang kita tak hairan.
“Cuma disebut itu seolah-olah semua orang Malaysia gembira dengan kedetangan Trump. Dia silap, bukan semua orang. ramai yang tak setuju. Jadi, kita patut berlaku adil jugalah,” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, Mohd Nazari berkata, ramai dalam kalangan rakyat malaysia marah dengan kehadiran Trump kerana sedar bahawa Presiden AS itu adalah penyumbang besar kepada genosid di Gaza.
Malah katanya, bantahan terhadap kehadiran Trump sebenarnya telah diluahkan BDS Malaysia dan NGO-NGO serta orang ramai yang berdiri bersama Palestin.
“Dia (Trump) adalah orang yang melakukan jenayah perang. Bagi kita, dialah yang bertanggunjawab. Darah ratusan ribu rakyat palestin di tangan dia.
“Sebab itu kami tidak setuju dengan kehadirannya. Itu juga kenapa banyak NGO bersama membuat protes. Hairan betul kenapa begitu teruja dengan kedatangan dia.
“Malah, kami juga telah bersuara sejak dua bulan lalu apabila diumumkan di Parlimen bahawa Trump akan datang ke negara ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Nazari berkata, video tular yang memaparkan Trump menari ketika disambut di negara ini sudah tentu akan mengundang rasa sedih dan kecewa dalam kalangan orang Palestin kerana Malaysia adalah negara Islam.
Tambah beliau, rakaman itu juga telah merosakkan imej kerajaan Malaysia kepada orang Palestin serta pihak yang menyokong perjuangan di Palestin.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi