Pembunuhan beramai-ramai di el-Fasher: Apa yang berlaku di Sudan sekarang?

BANGI, 8 JAMADILAWAL – Beribu-ribu orang dipercayai dibunuh di bandar el-Fasher, ibu negeri Darfur Utara di barat Sudan, selepas pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menawan bandar itu.

El-Fasher jatuh pada Ahad lalu selepas 18 bulan dikepung oleh RSF yang menyekat kemasukan makanan dan keperluan asas kepada ratusan ribu penduduk yang terperangkap di situ.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sudan dilanda perang saudara selama dua tahun setengah, menyebabkan kira-kira 40,000 kematian dan perpindahan 12 juta orang.

Berikut ialah apa yang diketahui mengenai laporan pembunuhan beramai-ramai di el-Fasher:

Apa yang berlaku di el-Fasher?

RSF menawan el-Fasher pada Ahad lalu, merampas kedudukan terakhir Pasukan Tentera Sudan (SAF) di wilayah Darfur. SAF mendakwa kira-kira 2,000 orang terbunuh hingga semalam, manakala Rangkaian Doktor Sudan melaporkan sekurang-kurang 1,500 orang terbunuh.

Kira-kira 1.2 juta penduduk bandar itu hidup di bawah kepungan selama 18 bulan, terpaksa bergantung kepada makanan haiwan untuk terus hidup apabila RSF membina halangan sejauh 56 kilometer (km) yang menyekat kemasukan makanan dan ubat serta menutup laluan keluar.

Video yang dikongsi dalam talian dan disahkan oleh agensi pengesahan Al Jazeera Sanad menunjukkan pejuang RSF menyeksa dan membunuh orang awam. Anggota RSF sering merakam sendiri kekejaman yang mereka lakukan.

Kumpulan perubatan dan hak asasi Sudan, termasuk Rangkaian Doktor Sudan, menuduh RSF melakukan pembunuhan besar-besaran, menahan orang awam dan menyerang hospital.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB pula berkata, tindakan RSF termasuk pembunuhan tanpa bicara terhadap orang yang melarikan diri dan terdapat “petunjuk motif etnik dalam pembunuhan tersebut.”

Analisis Humanitarian Research Lab (HRL) di Universiti Yale, mengesahkan laporan pembunuhan beramai-ramai melalui imejan satelit dan data penderiaan jauh.

Menurut laporan itu, HRL menyimpulkan bahawa kelompok objek dan perubahan warna tanah di kawasan tertentu merupakan bukti kehadiran mayat manusia dan tompokan darah. Corak tersebut tidak wujud dalam imej sebelum serangan RSF.

Lebih 26,000 orang melarikan diri dari el-Fasher dalam tempoh dua hari, kebanyakan berjalan kaki ke arah Tawila, kira-kira 70 km ke barat, kata PBB. Sekitar 177,000 orang awam masih terperangkap di el-Fasher, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

Pada masa sama, kekejaman turut dilaporkan di Bara, negeri jiran Kordofan Utara, yang diumumkan ditawan oleh RSF pada 25 Oktober. Di sana, mereka dilaporkan menyerang orang awam dan pekerja kemanusiaan.

Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah berkata, lima sukarelawan Sudan terbunuh di Bara dan tiga lagi masih hilang.

Di mana serta mengapa el-Fasher dan el-Obeid penting?

Kedua-duanya ialah bandar utama di barat Sudan dan kini menjadi medan pertempuran utama.

RSF berpengaruh di barat negara itu dan mahu menguasai Sudan sepenuhnya, manakala SAF berusaha menolak balik dari kubu kuatnya di timur.

El-Fasher ialah ibu negeri Darfur Utara dan sebelum Ahad lalu, merupakan bandar utama terakhir di Darfur yang belum jatuh ke tangan RSF. Kejatuhan ini bermakna Sudan kini secara efektif terbahagi dua, timur dikuasai SAF dan barat dikuasai RSF.

RSF tmengisytiharkan pemerintahan selari di seluruh Darfur, manakala tentera Sudan mengekalkan kawalan di timur, tengah dan utara negara.

El-Obeid pula ialah ibu negeri kaya minyak di Kordofan Utara, terletak bersebelahan Darfur dan menjadi laluan strategik antara Darfur dan Khartoum.

Walaupun El-Obeid masih di bawah kawalan SAF, tetapi RSF semakin menghampiri. Jika bandar itu jatuh, SAF akan kehilangan benteng penting antara Khartoum dan wilayah RSF.

Apa yang kedua-dua pihak katakan mengenai penawanan el-Fasher?

Pada Isnin, Komander SAF merangkap pemimpin de facto Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, berkata tenteranya berundur dari el-Fasher bagi mengelak “kemusnahan sistematik dan pembunuhan besar-besaran terhadap orang awam” oleh RSF.

Namun beliau menegaskan: “Kami berazam membalas dendam terhadap apa yang berlaku kepada rakyat kami di el-Fasher.”

Semalam, Menteri Luar Hussein Al-Amin menyalahkan masyarakat antarabangsa kerana gagal bertindak terhadap RSF.

RSF pula mendakwa mahu “menyatukan Sudan di bawah demokrasi sebenar,” kata ketuanya, Mohammed Hamdan “Hemedti” Dagalo, sambil menambah bahawa individu yang melakukan jenayah terhadap orang awam akan diadili.

Siapa RSF sebenarnya?

RSF pada asalnya dibentuk sebagai “Janjaweed”, kumpulan bersenjata puak nomad yang berjuang untuk Presiden Omar al-Bashir semasa perang Darfur bermula pada 2003. Mereka terkenal kerana kekejaman terhadap puak bukan Arab.

Kumpulan hak asasi menuduh Janjaweed melakukan pembunuhan beramai-ramai yang menjurus kepada genosid, menyebabkan antara 100,000 hingga 300,000 terbunuh dan 2.5 juta lagi kehilangan tempat tinggal.

Pada 2013, al-Bashir mengiktiraf Janjaweed sebagai RSF dengan keanggotaan sekitar 100,000 orang, dan undang-undang 2017 memberi mereka kuasa lebih besar sebagai pasukan keselamatan bebas.

RSF membantu menggulingkan al-Bashir pada 2019, namun dua tahun kemudian berpakat dengan SAF menggulingkan Perdana Menteri awam, Abdalla Hamdok, menamatkan kerajaan peralihan sivil-tentera.

Bagaimana konflik Sudan bermula?

Ketegangan antara Hemedti dan al-Burhan meningkat apabila berlaku pertikaian tentang bila RSF akan digabungkan ke dalam SAF dan siapa yang akan mengetuai angkatan gabungan itu.

Pertelingkahan itu mencetuskan perang pada 15 April 2023.

Kedua-dua pihak dituduh kumpulan hak asasi melakukan kekejaman terhadap orang awam. Pada Januari lalu, Jabatan Negara AS mengisytiharkan bahawa RSF dan sekutunya melakukan genosid di Darfur.

Apa yang dipertaruhkan?

Yang paling penting ialah nyawa ribuan orang awam.

Kumpulan hak asasi Sudan memberi amaran bahawa pengambilalihan el-Fasher oleh RSF akan menjadi bencana besar kepada penduduk, terutama suku bukan Arab.

Menurut laporan wartawan Al Jazeera, Hiba Morgan, dari Khartoum, penduduk yang melarikan diri dari el-Fasher menceritakan bahawa RSF menyerbu rumah ke rumah dan menembak orang berdasarkan etnik mereka.

Hampir 500 orang dilaporkan terbunuh di Hospital Saudi di el-Fasher, tempat pesakit, petugas kesihatan dan pelarian berlindung.

RSF dilaporkan menahan ratusan orang lagi dan banyak kes rogol terhadap wanita turut direkodkan.

Penganalisis menjangkakan lebih banyak pembunuhan beramai-ramai akan berlaku di kawasan lain yang ditawan RSF.

Penawanan el-Fasher memberi RSF kawalan penuh ke atas seluruh wilayah Darfur, kawasan luas yang terletak di sempadan Chad, Libya dan Sudan Selatan serta kaya dengan sumber emas.

Laporan Institut Itali bagi Kajian Politik Antarabangsa (ISPI) pada 2024 menyatakan perebutan emas Sudan adalah antara faktor pendorong perang ini.

Usaha mengakhiri perang

Beberapa rundingan damai diketuai Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Kesatuan Afrika sebelum ini gagal mencapai kemajuan.

Terkini, AS bersama Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (kumpulan “Quad”) mengumumkan pelan damai pada 12 September yang menyeru gencatan senjata kemanusiaan selama tiga bulan diikuti peralihan kepada pemerintahan awam dalam tempoh sembilan bulan.

Al-Burhan pada mulanya menolak cadangan itu, namun selepas bertemu Presiden Mesir Abdel-Fattah el-Sisi pada 15 Oktober, beliau menunjukkan kesediaan untuk berbincang.

Minggu lalu, wakil SAF dan RSF dilaporkan mengadakan rundingan tidak langsung di Washington DC dengan pertemuan susulan dijadualkan hujung Oktober.

Namun, semua itu berlaku sebelum RSF menawan el-Fasher. Kini, hala tuju rundingan damai menjadi tidak menentu. – ALJAZEERA

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

“Kuota tambahan 300 liter BUDI95 tak cukup, hanya bertahan seminggu” – TPAD

Next Post

ART Malaysia-AS: Kerajaan korbankan kemerdekaan negara – Tun M

Related Posts