‘Tak ada sebab Malaysia perlu tunduk kepada Amerika Syarikat’ – Nasionalis

BANGI, 8 JAMADILAWAL – Presiden Gabungan Nasionalis, Haji Aminuddin Yahaya, mempersoalkan tindakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menandatangani perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa bertujuan mengelakkan kadar tarif lebih tinggi.

Beliau berkata, sebagaimana dijangka, MITI akan memberikan pelbagai justifikasi berhubung keputusan itu, antaranya dakwaan bahawa Malaysia mungkin berdepan kadar tarif sehingga 100 peratus sekiranya enggan menandatangani perjanjian berkenaan.

“Persoalannya, apakah kita begitu yakin bahawa AS tidak akan menaikkan tarif pada masa hadapan walaupun perjanjian sudah dimeterai? 

“Dunia tahu Presiden Donald Trump ialah seorang yang unpredictable dan boleh berubah pendirian pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, alasan sedemikian hanyalah sangkaan untuk meredakan kebimbangan rakyat, sedangkan kerajaan tidak sepatutnya berhujah berasaskan andaian semata-mata.

Aminuddin turut membidas alasan kononnya syarikat akan menanggung kerugian dan rakyat akan kehilangan pekerjaan sekiranya hubungan perdagangan dengan AS terjejas.

“Hujah ini sama seperti ketika isu boikot dahulu. Katanya, jika rakyat memboikot KK Mart atau KFC, maka rakyat sendiri akan kehilangan pekerjaan. Hakikatnya tidak begitu, kerana banyak lagi peluang pekerjaan lain yang boleh diperoleh.

“Sehingga hari ini, kadar pengangguran kekal rendah walaupun rakyat terus memboikot beberapa perniagaan tertentu,” ujarnya.

Beliau menegaskan, persoalan lebih besar ialah sama ada Malaysia sanggup membayar harga yang tinggi hanya kerana ketakutan dan sangkaan semata-mata.

“Jika beginilah keadaannya, maka amat rapuhlah negara kita. Kena ugut sedikit pun sudah hilang kewibawaan. Lebih membimbangkan, negara tidak akan mencapai ekonomi mandiri, sebaliknya akan terus diperkotak-katikkan oleh kuasa luar.

“Ini amat berbahaya, bukan sahaja dari sudut ekonomi, tetapi juga keselamatan negara,” katanya.

Aminuddin turut mempersoalkan mengapa kerajaan seolah-olah terlalu bergantung kepada AS, sedangkan banyak lagi pilihan pasaran eksport lain yang boleh diteroka.

“Apakah negara tidak mempunyai alternatif lain seperti China, Rusia, benua Afrika atau Amerika Latin? Bukankah Malaysia kini sedang berusaha untuk bersama dalam blok BRICS?,” soalnya.

Beliau menambah, rakyat tidak nampak sebarang keperluan untuk Malaysia tunduk kepada AS, kecuali jika wujud sebab-sebab tersembunyi di sebaliknya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Trump masih cari jalan jadi Presiden AS kali ketiga

Next Post

Jangan ambil mudah pengaruh permainan dalam talian – Dr Najwa

Related Posts