KUALA LUMPUR, Jumaat – Ahli Jawatankuasa Bertindak Flat PKNS Kg Baru menyatakan warga penduduk yang merangkumi lebih daripada 250 orang pemilik tidak pernah memberi sebarang persetujuan dan kata putus terhadap tawaran daripada pihak pemaju Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB).
“Kami tidak pernah bersetuju apa apa tawaran.”
Demikian pengakuan Ahli Jawatankuasa Bertindak Flat PKNS Kampung Baru, yang
menyatakan, warga penduduk unit flat PKNS merangkumi lebih daripada 250 orang pemilik tidak pernah memberi sebarang persetujuan dan kata putus terhadap tawaran daripada pihak pemaju Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB).
Wakil Ahli Jawatankuasa Bertindak Flat PKNS, Zulkifli Ishak berkata kepada TV PERTIWI malam tadi, penduduk flat itu juga tidak pernah menerima dan menandatangani sebarang dokumentasi berkenaan persetujuan antara pihak pemilik flat PKNS Kg Baru dengan pihak MRSB.
“..Setuju pun masih belum ada hitam putih, sebab tawaran belum keluar, kalau dah keluar kami penduduk mesti dah tahu. Benda ni (Surat perjanjian) tak keluar lagi macam mana dia boleh kata ada. Pada masa itu hanyalah taklimat ringkas sahaja, pemaju hanya tunjuk macam ni je ok, habis tu dia anggap semua dah setuju mana boleh, kita tiada serah hak, tandatangan pun tidak..”
ZULKIFLI ISHAK / Wakil AJK Bertindak Flat PKNS
Keratan fail gambar simpanan Ahli Jawatankuasa Bertindak Kg Baru, Kuala Lumpur
Salinan tawaran yang ditawarkan oleh pihak pemaju kepada penduduk flat PKNS Kg Baru
Menurut Zulkifli, pihak pemaju memang sudah mengadakan perjumpaan tertutup dengan para penduduk untuk membentangkan cadangan projek pembangunan semula tersebut.
Akan tetapi mereka tidak pernah menandatangani sebarang dokumentasi berkenaan persetujuan antara pihak pemilik flat PKNS Kg Baru dengan pihak pemaju.
Tambah beliau, pada 30 Jun 2022 media tempatan melaporkan Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB) kononnya sudah mendapat persetujuan daripada 80 peratus penduduk flat.
Namun katanya semua itu adalah tidak benar malah beliau menyoalkan dari mana dapatan sumber fakta media tersebut.
Jelasnya, sebanyak 70 peratus penduduk flat PKNS Kg Baru itu adalah pemilik tunggal dan 30 peratus masih belum dipindah milik dan masih menyewa dengan PKNS.
Pengerusi MUDA Wilayah Persekutuan Taufik Zarak berkata, tindakan yang dilakukan oleh pihak pemaju seolah-olah menindas, dan mereka seharusnya mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti dalam memberikan penjelasan yang lebih terperinci kepada pemilik-pemilik unit tersebut.
“.. Kami mendapati bahawa tidak ada ketelusan di antara pemaju dengan pihak pemilik. Piha pemaju seharusnya memberikan satu maklumat yang menyeluruh kepada semua penduduk, apa yg mereka tawarkan apa yg berlaku apa status terkini bukan hanya mereka katakan dapat majoriti tapi kita tak tahu siapa majoriti itu. Penduduk asal pun tidak dapat apa-apa tawaran berkenaan isu ini, ini satu penindasan..”
TAUFIK ZARAK / Pengerusi MUDA Wilayah Persekutuan
Jelas Taufik, pihak kerajaan khususnya pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan juga pihak yang berkepentingan perlu menangani isu pembangunan tanah di flat PKNS Kampung Baru ini dengan lebih telus, holistik, dan inklusif.
Tanah unit flat PKNS ini menurutnya berkeluasan sekitar 3.6 ekar yang terdiri daripada 11 buah lot, iaitu 7 buah lot kediaman, 2 buah lot taman, 1 buah lot surau, dan 1 buah lot anjung untuk kegunaan penduduk setempat.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB) akan meneruskan projek pembangunan semula Flat PKNS Jalan Tun Razak bernilai RM1.2 bilion di Kampung Baru di sini memandangkan ia telah mendapat persetujuan daripada majoriti penduduk tempatan.
Dalam kenyataan yang sama, MRSB menjelaskan projek pembangunan semula itu sudah mendapat persetujuan daripada 80 peratus penduduk flat itu, melebihi syarat yang ditetapkan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).
Rancangan pembangunan semula itu meliputi menara pangsapuri 52 tingkat, dibina untuk pemilik Flat PKNS sedia ada selain tiga menara tambahan untuk unit kediaman dan runcit.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/21/siti-nuramira-dibebaskan-dengan-jaminan-jawi/