Jangan ambil mudah pengaruh permainan dalam talian – Dr Najwa

BANGI, 8 JAMADILAWAL – “Jangan ambil mudah dengan menyalahkan sepenuhnya permainan dalam talian sebagai punca perubahan tingkah laku anak, tetapi ambil tanggungjawab dengan memahami selok-belok dunia ini.”

Demikian kata Penggubal Modul RepoAlert!, Dr Najwa Hanim Ab Latiff, ketika mengulas isu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikelar abangnya akibat kehilangan sejuta mata (point) yang dikumpul abangnya.

Beliau berkata, walaupun siasatan masih berjalan, isu ini membuka ruang penting untuk masyarakat dan ibu bapa memahami kesan permainan dalam talian terhadap otak kanak-kanak, apatah lagi jika hobi itu dilakukan secara berpanjangan tanpa kawalan dan panduan orang dewasa.

Otak manusia bersifat neuroplastisiti, iaitu keupayaan untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan input, rangsangan, serta pengalaman persekitaran – lebih-lebih lagi otak kanak-kanak yang sedang membesar, katanya. 

“Oleh itu, permainan dalam talian boleh mempengaruhi emosi serta tingkah laku mereka.

“Ibu bapa wajib tahu, otak kanak-kanak pada usia ini sedang berkembang pesat. Ini bermakna otak mereka mudah dibentuk oleh pengalaman, rangsangan, dan persekitaran.

“Ketika mereka bermain permainan dalam talian yang berorientasikan ganjaran, persaingan, atau elemen kekerasan, rangkaian saraf yang terlibat dalam kawalan impuls, ganjaran, dan emosi boleh menjadi terlatih untuk bertindak balas secara cepat dan ekstrem terhadap kekecewaan atau kegagalan,” katanya.

Dalam kes yang dilaporkan, mangsa dikatakan telah menghapuskan sejuta mata (point) yang dikumpul oleh abangnya, dan tidak mustahil perkara itu mencetuskan konflik emosi yang kuat.

“Bagi kanak-kanak yang belum matang dari segi kawalan impuls dan keupayaan mengurus emosi, kehilangan suatu ‘nilai’ yang dianggap penting ini diterjemahkan oleh otak sebagai kehilangan yang besar dan nyata.

“Kita tahu banyak permainan dalam talian yang bersifat intensif boleh meningkatkan aktiviti dalam sistem ganjaran otak, dan itu melibatkan bahagian yang sama terlibat dalam ketagihan serta tindak balas impulsif,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Najwa berkata, ibu bapa wajib memantau jenis permainan yang dimainkan, tempoh masa bermain, serta emosi anak selepas bermain.

“Apabila anak-anak menunjukkan kekecewaan besar kerana kalah atau kehilangan ‘point’, saat ini adalah peluang penting untuk membimbing mereka memahami perasaan tersebut dan mengajar cara mengatasinya dengan sihat.

“Ini kerana banyak kes berkaitan keganasan dalam kalangan anak-anak berlaku, dan kita perlu memandangnya dengan serius,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi Isnin lalu, mangsa ditemui dalam keadaan parah dengan kesan kelar di leher kanan dipercayai akibat senjata tajam.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, memaklumkan bahawa siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 41 tahun.

Wanita berkenaan dikatakan terjaga daripada tidur dan mendapati anak lelakinya berlumuran darah dengan kecederaan serius di leher, sebelum segera membawanya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Tak ada sebab Malaysia perlu tunduk kepada Amerika Syarikat’ – Nasionalis

Next Post

“Kuota tambahan 300 liter BUDI95 tak cukup, hanya bertahan seminggu” – TPAD

Related Posts