Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk A Kadir Jasin menyelar Kementerian Kewangan (MoF) kerana memandang ringan kerugian pelaburan dalam Fashion Valet.
Wartawan veteran itu berkata MoF kelihatan sombong apabila menyifatkan kerugian Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai kecil.
“Saya tidak setuju dengan jawapan MoF mengenai isu ini seolah-olah meremehkan kerugian RM44 juta oleh Khazanah dan PNB itu.
“Malah bunyi macam sombong dan anggap orang ramai bodoh dengan mengatakan kerugian itu kecil berbanding keseluruhan pendapatan Khazanah dan PNB.
“Hatta satu sen pun ia tetap kerugian dan tidak harus diremehkan. Apatah lagi kalau orang ramai tahu yang Khazanah pernah rugi berbilion-bilion ringgit,” coretnya di Facebook hari ini.
MoF hujung bulan lalu memaklumkan Khazanah dan PNB mengalami kerugian selepas menanam modal RM47 juta pada 2018 dalam syarikat Fashion Valet.
Katanya, jumlah kerugian itu amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana Khazanah dan PNB pada tahun berkenaan.
“Penjualan itu adalah langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada Fashion Valet kepada pelabur strategik.
“Ia akan dapat terus membantu Fashion Valet untuk menyelesaikan keperluan pembiayaannya secara holistik dan mengembangkan semula perniagaan,” katanya.
Jawapan bertulis itu sebagai respon kepada Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin yang ingin mengetahui jumlah pelaburan dan kerugian yang dialami Khazanah dan PNB.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI