BANGI, 2 JAMADILAWAL – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Malaysia bukan sekadar lawatan politik, tetapi satu ujian terhadap jiwa merdeka rakyat negara ini.
Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis, Rashidi Haris, menegaskan lawatan itu menuntut ketegasan pemimpin dalam ujian moral dan maruah negara.
“Trump dikenal sebagai penyokong kuat Israel dan antara individu yang memberi dana, senjata, serta sokongan politik kepada rejim Israel yang kini terlibat dalam konflik bersenjata di Gaza.
“Perkara ini tidak boleh dinafikan, termasuk laporan-laporan yang dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague mengenai tindakan tentera Israel terhadap orang awam,” katanya.
Beliau menambah, semasa pentadbirannya (2017–2021), Washington menyalurkan berbilion dolar bantuan ketenteraan kepada Israel, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Bahkan, turut menekan beberapa negara Islam agar menerima normalisasi hubungan dengan Israel. Semua dasar ini menjadi faktor utama mengapa rakyat Malaysia berpendirian kritikal terhadap Trump.
Rashidi menegaskan, Malaysia tidak berkompromi dalam isu Gaza dan sejak dahulu menolak penjajahan Israel, serta berdiri bersama rakyat Palestin.
“Menyambut Trump seolah-olah memberi sokongan kepada dasar yang menimbulkan penderitaan rakyat Palestin.
“Kami menolak hipokrasi diplomasi yang menyambut pelaku kuasa besar dengan karpet merah, sedangkan di Gaza ribuan kanak-kanak terjejas akibat konflik bersenjata,” ujarnya.
Beliau menyeru rakyat Malaysia bangkit dan menyuarakan pendirian supaya kerajaan menyatakan sikap rasmi bahawa Malaysia tidak akan menyambut individu yang menyokong dasar yang mencetuskan konflik.
“Gunakan platform media sosial untuk menyatakan pendirian dengan tanda pagar #TolakTrumpDiMalaysia. Kehadiran Trump ke Malaysia adalah ujian kepada prinsip dan keberanian negara kita. Rakyat yang berjiwa merdeka akan tahu jawapannya,” tambah Rashidi.
Gabungan Nasionalis menegaskan, pihaknya menolak polisi Trump dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin, mempertahankan maruah serta prinsip Malaysia.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi