BANGI, 2 JAMADILAWAL – Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan subjek Pendidikan Karakter bermula tahun depan terus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.
Ada yang menyambut baik kononnya bagi membina akhlak pelajar, namun ada juga yang melihatnya hanya menambah beban guru dan murid tanpa menyentuh akar masalah sebenar pendidikan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, idea itu seolah-olah ‘menternak ulat dalam batu’ – kelihatan indah dalam teori, tetapi tidak realistik di alam nyata.
“Ketika menjadi ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (2018-2020), saya memang menolak idea sebegini. Mengapa setiap masalah di sekolah mesti diselesaikan dengan menambah mata pelajaran baharu?
“Guru bukan robot atau adiwira. Mereka sudah terbeban dengan pelbagai tugasan – silibus yang padat, laporan, data Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), Rancangan Pengajaran Harian (eRPH), pentaksiran formatif dan sumatif, format baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ditambah lagi dengan tanggungjawab kokurikulum di luar bilik darjah,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Tokoh akademik itu berkata, penambahan satu lagi subjek hanya menjadikan jadual mengajar semakin sesak dan mengurangkan masa untuk guru benar-benar menjiwai proses pengajaran.
“Murid pula semakin tertekan dengan kurikulum yang padat dan akan menganggap Pendidikan Karakter sekadar satu lagi mata pelajaran wajib lulus, bukan ruang membina jiwa. Nilai moral akhirnya dicipta dengan ‘markah’, bukan dengan ‘makna’.
“Pendekatan sebegini bukan sahaja menelan kos dan tenaga yang besar, malah tidak menyentuh roh pendidikan itu sendiri. Kita perlukan sekolah yang mempunyai karakter, bukan sekadar mata pelajaran yang berkarakter,” tegasnya.
Ramzah turut menjadikan Jepun sebagai contoh negara yang berjaya membina akhlak generasi muda tanpa menambah subjek moral secara khusus.
“Sekolah di Jepun subur dengan budaya positif. Pelajarnya tahu cara tunduk memberi salam, mengemas kelas dan menghormati ruang awam.
“Semua itu tidak diajar melalui silibus, tetapi dihidupkan sebagai amalan rutin. Character is caught, not taught. Kita terlalu sibuk mahu membina akhlak dalam buku teks, sedangkan disiplin sebenar terbina dalam pengalaman hidup,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi