Kebanyakan rakyat Amerika Syarikat sokong iktiraf negara Palestin

WASHINGTON, 2 JAMADILAWAL – Kebanyakan rakyat Amerika Syarikat (AS) termasuk 80 peratus dari Demokrat dan 41 peratus Republikan, berpendapat AS harus mengiktiraf kewujudan negara Palestin, menandakan penentangan Presiden Donald Trump terhadap langkah itu tidak selari dengan pandangan umum.

Tinjauan Reuters/Ipsos selama enam hari yang berakhir Isnin lalu, mendapati 59 peratus responden menyokong AS mengiktiraf sebuah negara Palestin, manakala 33 peratus menentang dan selebihnya tidak pasti atau tidak menjawab soalan.

Kira-kira separuh daripada penyokong Republikan Trump, iaitu sebanyak 53 peratus menentang pengiktirafan tersebut, manakala 41 peratus Republikan berkata mereka akan menyokong AS mengiktiraf negara Palestin.

Semakin banyak negara, termasuk sekutu AS seperti Britain, Kanada, Perancis dan Australia, secara rasmi mengiktiraf kewujudan negara Palestin dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mencetuskan kecaman Israel yang penubuhan negara haram itu pada 1948 membawa kepada pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin dan berdekad-dekad konflik.

Serangan udara Israel memusnahkan sebahagian besar penempatan penduduk Palestin di Gaza selepas serangan mengejut oleh pejuang Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023.

Trump yang kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, sebahagian besar menyokong Israel dalam peperangan tersebut dan pada bulan ini menjadi orang tengah kepada satu perjanjian gencatan senjata, sekali gus memberi harapan bahawa keamanan berkekalan mungkin dapat dicapai.

Tinjauan Reuters/Ipsos memberi gambaran bahawa rakyat AS bersedia memberi penghargaan kepada Trump jika rancangannya berjaya. Seramai 51 peratus responden bersetuju dengan kenyataan bahawa Trump “layak menerima kredit yang signifikan” jika usaha damai berjaya, berbanding 42 peratus yang tidak bersetuju.

Walaupun hanya seorang daripada 20 Demokrat meluluskan prestasi keseluruhan Trump sebagai presiden, seorang daripada empat berkata, beliau harus menerima penghargaan besar jika keamanan dapat dikekalkan.

Namun, kejayaan dalam hal ini masih jauh daripada pasti. Letusan keganasan pada hujung minggu mengancam untuk menggagalkan gencatan senjata yang baru seminggu berlangsung. Diplomat AS meningkatkan tekanan terhadap Israel dan Hamas untuk memastikan rancangan Trump kembali ke landasan.

Persoalan utama mengenai perlucutan senjata Hamas, pengunduran lanjut tentera Israel serta masa depan pentadbiran wilayah Palestin masih belum diselesaikan.

Penarafan kelulusan Trump dalam dasar luar negara dilihat sedikit meningkat, naik kepada 38 peratus dalam tinjauan terkini Reuters/Ipsos, berbanding 33 peratus dalam tinjauan awal bulan ini sebelum perjanjian gencatan senjata. Penarafan terkini itu adalah yang tertinggi bagi Trump sejak Julai.

Tinjauan Reuters/Ipsos dijalankan secara dalam talian dan mengumpul respons daripada 4,385 orang di seluruh negara. Margin ralat tinjauan adalah 2 mata peratusan. – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Berani ke kacau industri arak?

Next Post

Hak tuan tanah mesti dilindungi dalam URA

Related Posts