BANGI, 2 JAMADILAWAL – Gerakan mendakwa pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) kini dilihat semakin bergerak ke arah Islamisasi.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, perkara begini yang sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara majmuk, dilakukan dengan memaksa ajaran serta larangan Islam ke atas gaya hidup dan aktiviti budaya masyarakat bukan Islam.
Beliau menjadikan cadangan untuk melaksanakan larangan alkohol bagi penyewaan dewan sekolah selepas waktu persekolahan di sekolah Cina sebagai contoh.
“Kerajaan Perpaduan bukan sahaja memberikan peruntukan yang amat tidak mencukupi kepada sekolah Cina, malah terus mengenakan pelbagai sekatan.
“Kini, cadangan untuk melaksanakan larangan alkohol bagi penyewaan dewan sekolah selepas waktu persekolahan jelas akan memutuskan sumber pendapatan utama sekolah Cina!,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurutnya, dewan sekolah Cina bukan sekadar digunakan untuk aktiviti sekolah, tetapi disewakan kepada persatuan luar, majlis perkahwinan serta persembahan kebudayaan.
Katanya, hasil sewaan tersebut digunakan bagi menampung kos pembangunan dan penyelenggaraan sekolah.
“Jika larangan alkohol dikuatkuasakan, ia bukan sahaja menjejaskan sumber dana sekolah, malah memaksa persatuan dan individu mencari tempat lain yang jauh lebih mahal,” katanya.
Beliau mempersoalkan pemimpin DAP seperti Anthony Loke (Menteri Pengangkutan dan Setiausaha Agung DAP) serta Wong Kah Woh (Timbalan Menteri Pendidikan dan Pengarah Pilihan raya DAP) berhubung perkara ini.
“Adakah DAP masih rela berdiam diri demi menjaga jawatan dalam kerajaan, walaupun dasar-dasar yang menindas sekolah Cina semakin berleluasa?,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi