Mampukah Anwar yakinkan Trump?

BANGI, 1 JAMADILAWAL – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini bukan sekadar pentas diplomasi serantau, tetapi medan ujian bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim – sejauh mana beliau mampu mempengaruhi Donald Trump, presiden yang terkenal dengan dasar keras, ego kuasa besar, dan pandangan dunia yang sering memihak kepada Israel.

Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan tertutup dengan Trump bagi membincangkan isu perdagangan Malaysia serta keamanan global termasuk Gaza. Pertemuan ini berlaku selepas dua panggilan telefon antara mereka, yang menurut Anwar, berlangsung dalam suasana mesra dan positif. 

Trump dikatakan menunjukkan kesediaan untuk membantu menghentikan pengeboman di Gaza, sesuatu yang jarang kita dengar dari Washington.

Namun, semua pemerhati politik tahu: mesra tidak semestinya bermakna setuju. Trump bukan jenis pemimpin yang mudah diyakinkan dengan hujah moral semata-mata. Trump menilai segalanya dari sudut kepentingan Amerika Syarikat, dan sejarah menunjukkan semasa pentadbirannya, beliau banyak menyebelahi Israel walaupun ketika rejim itu bertindak ganas di Gaza.

Pentadbiran Trump bukan sahaja menolak bantuan kepada pelarian Palestin melalui UNRWA, malah mempertahankan tindakan ketenteraan Israel yang mengorbankan ribuan nyawa awam di Gaza atas alasan “hak mempertahankan diri”.

Di sinilah kebijaksanaan diplomasi PM Anwar diuji, bagaimana menjadikan isu kemanusiaan seperti Gaza dilihat selari dengan kepentingan ekonomi dan kestabilan global yang turut menguntungkan Amerika.

Jika PM Anwar mampu memecahkan kebuntuan ini, walau sedikit, ia akan menandakan perubahan besar dalam pendekatan diplomasi Malaysia di mata dunia.

Malaysia kini berada di persimpangan penting. Negara ini mahu terus mempertahankan prinsip kemanusiaan dan solidariti bersama Palestin, sambil mengekalkan hubungan perdagangan yang strategik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

PM Anwar sedar bahawa dunia sedang memerhati, adakah Malaysia mampu berdiri teguh mempertahankan maruah umat tanpa menjejaskan kepentingan ekonomi negara?

Jawapan kepada soalan itu mungkin tidak datang segera. Tetapi jika Anwar berjaya meyakinkan Trump untuk melihat Gaza bukan sekadar isu politik, sebaliknya sebagai tragedi kemanusiaan sejagat, maka Malaysia sudah pun menang, bukan dengan kekuatan, tetapi dengan prinsip.

Siti Fatimah Ishak

Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rakyat akan keluar berdemo bantah kedatangan Trump pro-Israel – ZRA

Next Post

Israel wajib benarkan bantuan ke Gaza, tidak guna kebuluran sebagai senjata perang: ICJ

Related Posts