BANGI, 30 RABIULAKHIR – Fenomena guru memilih untuk bersara awal terus menjadi perhatian utama dalam sektor pendidikan negara apabila angka menunjukkan lebih 5,000 guru meninggalkan kerjaya ini setiap tahun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.
Berdasarkan kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 5,306 guru diluluskan untuk bersara pilihan pada 2022, meningkat kepada 6,394 pada 2023 dan mencatat 5,082 kes pada 2024.
Sehingga Mei tahun ini, seramai 2,397 guru memilih bersara awal. Secara keseluruhan, lebih 19,000 guru meninggalkan kerjaya ini dalam tempoh sekitar tiga tahun.
Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Dewan Rakyat pada Ogos lalu, sebahagian besar guru yang memilih untuk bersara awal menyatakan kehilangan minat terhadap kerjaya sebagai punca utama, iaitu sebanyak 67.44 peratus.
Faktor keluarga (17.43 peratus), masalah kesihatan (7.69 peratus) dan tekanan beban kerja (5.37 peratus) turut menjadi alasan yang sering dilaporkan.
Realiti di sekolah
Namun, dalam realiti di bilik darjah, terdapat satu faktor yang semakin disebut dalam kalangan guru tetapi jarang dinyatakan secara rasmi: kelesuan mental akibat berhadapan masalah disiplin pelajar.
Contoh dramatik yang masih segar dalam ingatan masyarakat ialah kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama, Selangor, apabila seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam seorang pelajar lain yang berusia 14 tahun dalam tandas sekolah.
Kes ini menimbulkan persoalan bukan sahaja terhadap keselamatan pelajar, tetapi terhadap tekanan yang perlu dihadapi oleh guru dan pihak sekolah dalam mengawal tingkah laku pelajar.
Dalam kes lain di Sabah yang turut mendapat perhatian seluruh negara, seorang pelajar perempuan tingkatan satu berusia 13 tahun maut di asrama sebuah sekolah agama dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan meninggal dunia.
Kajian akademik perkukuhkan bukti
Kajian akademik turut menyokong bahawa faktor berkaitan pelajar dan tingkah laku mereka berlaku sebagai antara penyumbang kepada keputusan guru untuk bersara awal.
Dalam kajian bertajuk “Analysis and Solution Strategies of the Early Retirement Trend of Teachers in Malaysia” oleh Zhao dan Li pada 2022, penyelidik mendapati isu “pelajar sukar” menjadi punca tekanan emosi yang signifikan kepada guru, terutama apabila tindakan disiplin tidak disokong sepenuhnya oleh pihak sekolah dan komuniti.
Kajian Tajul Rosli Shuib dan pengkaji lain pada 2023 dalam kajian “The Issue of Early Retirement as a Guide for Mithali Training Teachers”, yang melibatkan 772 responden dan 73 temu bual di Perak, menemukan bahawa persekitaran sosial termasuk isu buli, pelajar dan masyarakat adalah antara faktor yang membawa ke arah keletihan kerja dan persaraan awal guru.
Selain itu, Mohammad Halim pada 2024 dalam kajian kes di Negeri Sembilan mencatat bahawa guru yang menghadapi masalah tingkah laku pelajar dan gangguan disiplin sekolah melaporkan rasa kehilangan kawalan dan semangat yang akhirnya mendorong keinginan untuk bersara awal.
Walaupun angka rasmi KPM tidak menetapkan “masalah disiplin pelajar” sebagai kategori utama persaraan awal, realiti di lapangan menunjukkan ia adalah faktor yang semakin ketara.
Tekanan makin memuncak
Guru yang setiap hari menghadapi cabaran seperti buli, keganasan pelajar, ancaman keselamatan di sekolah dan asrama merasa tekanan yang tidak hanya bersifat profesional tetapi juga psikologi.
Insiden seperti pelajar maut atau kecederaan akibat tingkah laku rakan sebaya menambah beban mereka. Bukan sekadar tugas mengajar tetapi fungsi penguat disiplin dan kadangkala kaunselor.
Akibatnya, apabila guru sudah tidak lagi melihat kerjaya perguruan sebagai ruang yang selamat dan dihargai, mereka memilih untuk bersara awal, meninggalkan bilik darjah dan meninggalkan generasi muda.
Jika trend ini berterusan, sistem pendidikan negara boleh kehilangan tenaga pengajar berpengalaman
Guru perlukan sokongan penuh
Usaha terbaru KPM untuk menangani masalah disiplin di sekolah dengan menegaskan peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin sekolah akan terus diperkasakan, termasuk kuasa untuk merotan, menggantung atau membuang sekolah mengikut peraturan sedia ada amat dialu-alukan.
Melalui pendekatan baharu itu, Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru-guru tertentu untuk mendisiplinkan murid berdasarkan keperluan, sementara peraturan disiplin murid kini sedang digubal semula.
Namun bagi menghadapi situasi genting sekarang, penting bagi pembuat dasar dan pihak sekolah memperkuat rangka sokongan kepada guru, termasuk latihan pengurusan tingkah laku pelajar, protokol keselamatan sekolah yang ketat, sistem laporan insiden yang berkesan serta sokongan psikologi untuk guru.
Hanya dengan cara holistik begini, profesion perguruan boleh kekal bernilai, selamat dan mampu menarik serta mengekalkan guru berbakat.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi