Hari Peradaban Bangsa Melayu fokus jati diri dan warisan Islam

BANGI, 20 ZULHIJJAH – Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) kembali untuk edisi kedua, membawa misi yang lebih besar dalam memperkukuh jati diri Melayu Islam serta membangkitkan semula kesedaran terhadap warisan peradaban yang sekian lama membentuk kekuatan bangsa.

Penganjuran terdahulu telah berlangsung pada tahun 2021, dan kali ini HPBM dijadualkan berlangsung pada 28 Jun di Dewan Majlis Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Timbalan Pengarah HPBM, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, program ini menjadi wadah untuk mengukuhkan jati diri Melayu Islam, selain merenung kembali sejarah, warisan, dan hasil peradaban tinggi yang telah terbina.

Beliau menyeru masyarakat hadir bersama keluarga dan kenalan bagi memperingati peristiwa hijrah yang mengangkat umat Islam daripada penindasan di Makkah, kepada pembinaan sebuah negara bertamadun dan berperadaban tinggi.

“Hijrah ialah peristiwa yang mengangkat masyarakat Islam ketika itu daripada keadaan tertindas di Makkah kepada satu keadaan memiliki kuasa dan kemampuan untuk mengasaskan sebuah negara bertamadun dan berperadaban tinggi.

“Ia juga bertujuan merapatkan silaturahim sesama pencinta ‘abata’ – pencinta agama, bangsa dan tanah air. Sebaik-baik sahabat ialah yang bersama memperjuangkan pembangunan bangsanya,” katanya.

HPBM 2025 disasarkan menarik sekurang-kurangnya 10,000 peserta, sebagaimana diumumkan oleh Gabungan Nasionalis selaku penganjur utama.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama lebih 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merangkumi pelbagai organisasi Melayu, budaya dan kesenian.

Mengulas lanjut, Ustaz Fauzi berkata, HPBM turut menjadi medium pewarisan budaya Melayu Islam yang terbukti berjaya mempertahankan kedaulatan bangsa sejak berkurun lamanya.

Katanya, warisan terbaik yang boleh ditinggalkan kepada generasi pewaris ialah kesediaan jiwa mereka untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Luangkanlah hari cuti saudara dengan menyertai temasya ini. Mari berhibur dengan cara yang terhormat sambil menyaksikan persembahan kesenian Melayu yang unik.

“Bersama-sama kita melakar sejarah bangsa dengan menjadi pencetus kepada lonjakan kemajuan dan kedaulatan,” ujarnya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ucaptama di IPTA Johor dibatalkan, sejak bila wacana akademik perlu tauliah agama?

Next Post

‘Saya anggap mereka ‘dream team’, tapi ini keputusan lebih besar’

Related Posts