BANGI, 29 RABIULAKHIR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 yang kini ditangguhkan, perlu lebih adil dan telus dengan tidak mengenepikan walaupun seorang penduduk apabila dibentangkan semula di Dewan Rakyat.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Sri Endah di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur, Mohd Mokhsin Junaaid berkata, penduduk tidak menolak pembangunan semula, malah mengakui bahawa ia adalah perkara yang bagus, tetapi mesti bersyarat, telus dan adil untuk semua orang.
RUU URA dikatakan akan dibentangkan semula dalam persidangan Dewan Rakyat selepas ditangguhkan dalam persidangan sebelum ini.
“Pada pandangan saya, jika (RUU URA) hendak diubah semula, pertama kerajaan perlu menyatakan dengan jelas peratusan pemilik yang bersetuju dan tidak bersetuju terhadap cadangan pembangunan semula.
“Ini dilakukan melalui proses libat urus yang telus bersama semua pemilik harta unit atau di kawasan yang diwartakan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040,” katanya kepada TV Pertiwi.
Flat di Taman Sri Endah adalah antara kawasan kediaman di Kuala Lumpur yang hendak dibangunkan semula oleh pemaju swasta, tetapi `tergantung’ kerana tidak mendapat persetujuan majoriti penduduk.
Mokhsin menegaskan pandangan mereka penting, lebih-lebih lagi mengenai pelan pembaharuan semula bandar yang dilihat perlu lebih adil dan telus.
Selain itu, katanya kerajaan perlu mendapatkan pandangan golongan profesional seperti arkitek, peguam, jurunilai dan perancang bandar.
Menurutnya, kerajaan perlu mengadakan lebih banyak forum, sesi dialog dan konvensyen supaya masyarakat, terutama penduduk di kawasan yang hendak dibangunkan semula mendapat lebih banyak maklumat serta memahami apa yang sebenar berlaku dalam RUU URA.
Namun, beliau kesal kerana proses libat urus sebelum pembentangan RUU URA dalam persidangan Dewan Rakyat sebelum ini sangat mengecewakan.
“Sebab macam yang tuan-tuan tahu, kita pernah tengok dalam media yang mana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) yang diuar-uarkan, mereka ada buat libat urus.
“Tetapi libat urus mereka tidak memberitahu atau memperincikan berapa ramai yang setuju, berapa ramai tidak setuju. Peratusan itu tidak ada. Jadi kelihatan tak adil dan tak lengkap kepada kita,” katanya.
RUU URA yang dibentangkan buat kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam persidangan Dewan Rakyat sebelum ini, mendapat kritikan keras pelbagai pihak, termasuk ahli Parlimen kerajaan kerana pelbagai kelemahan yang dilihat merugikan kepentingan penduduk.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi