BANGI, 24 RABIULAKHIR – Belum reda kejutan kes rogol berkumpulan pelajar sekolah di Melaka minggu lalu, negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden sama, kali ini di Baling, Kedah.
Empat remaja termasuk tiga pelajar dan seorang bekas pelajar ditahan polis selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah itu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku antara Mei hingga Ogos lalu, melibatkan beberapa lokasi di kawasan sekolah termasuk di dalam kelas.
Katanya, laporan polis dibuat selepas ibu bapa mangsa dimaklumkan oleh guru disiplin berhubung penularan video bogel yang dipercayai melibatkan mangsa.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dirogol beberapa kali oleh suspek. Polis turut merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya.
Insiden ini menambah kepada deretan kes rogol yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, termasuk kes sebelum ini di Melaka, yang menunjukkan wujudnya gejala sosial serius sedang menular di sekolah-sekolah.
Pemerhati pendidikan menilai kejadian ini sebagai satu ‘wake up call’ kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menilai semula keberkesanan sistem pemantauan disiplin, pendidikan akhlak serta perlindungan pelajar di sekolah.
Menurut mereka, aspek kawalan sosial, bimbingan agama dan nilai moral perlu diberikan keutamaan, bukan hanya pencapaian akademik semata-mata.
Di media sosial, ramai pengguna meluahkan rasa marah dan kecewa dengan kejadian yang disifatkan sebagai “kegagalan sistem pendidikan membentuk sahsiah”.
“Lepas satu… satu… Kali ini di Baling pula. Tolonglah KPM, jangan tunggu perkara ini jadi biasa,” tulis seorang pengguna di platform X.
Seorang lagi pengguna menulis: “Kalau dalam kelas pun boleh jadi tempat rogol, di mana lagi anak-anak kita selamat? Ini bukan kes terpencil lagi.”
Ada juga yang mempersoalkan keberkesanan pendidikan agama di sekolah. “Setiap minggu ada Pendidikan Islam, tapi kenapa akhlak pelajar makin rosak? KPM kena nilai balik pendekatan yang digunakan,” kata seorang lagi netizen.
Tidak kurang juga yang menyeru peranan ibu bapa diperkasa. “Anak-anak sekarang terlalu lama dengan telefon, terlalu banyak terdedah pada bahan lucah. Kena kawal dari rumah juga, bukan harap sekolah saja,” tulis seorang pengguna lain.
Kebimbangan masyarakat semakin memuncak apabila sekolah, institusi yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk menimba ilmu, kini menjadi lokasi jenayah yang mengaibkan.
Ia menggambarkan betapa parahnya keruntuhan akhlak generasi muda, dan betapa mendesaknya perlunya pembinaan semula pendidikan berteraskan nilai dan iman.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi