BANGI, 23 RABIULAKHIR – “Kalau satu kes berlaku, itu takdir. Kalau dua kes berlaku, mungkin kebetulan. Tetapi kalau bertali arus kes berlaku, itu adalah krisis.”
Demikian tegas Timbalan Pengarah MINDA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, mengulas isu besar melibatkan pelajar sekolah seperti kes buli, rogol dan bunuh, yang disifatkannya sebagai tanda jelas sistem pendidikan negara sedang tenat.
Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menyebut sistem pendidikan negara “cacat”, serta pendedahan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) bahawa banyak perkara “disapu bawah karpet”, membuktikan kebenaran amaran yang telah disuarakan sejak lima tahun lalu.
“Saya telah menulis dan menegur perkara ini berulang kali. Tetapi ketika itu saya dituduh menabur fitnah,” katanya.
Dr Anuar berkata, apa yang berlaku hari ini menunjukkan sistem pendidikan negara sememangnya berada dalam keadaan ‘caca marba’ dan ‘sakit’.
“Pendidikan negara kita memang ‘caca marba’ dan ‘sakit’. Sistem pendidikan kita sedang dalam krisis. Fitnah apa lagi?” katanya.
Beliau turut memetik kenyataan KPPM yang menggambarkan keadaan semasa sebagai “bom atom yang hanya menunggu masa untuk meletup”, menandakan betapa seriusnya masalah dalaman dalam sistem pendidikan.
“Percayalah, apa yang berlaku sekarang hanyalah simptom kepada gejala pendidikan yang jauh lebih besar,” ujarnya.
Dr Anuar menegaskan bahawa beliau menulis berdasarkan data dan fakta sahih, bukan sentimen atau andaian.
“Sudah lebih lima tahun saya menulis tentang perkara ini. Akhirnya, memang betul pun apa yang saya selalu sebut itu.
“Sebab saya hanya akan tulis berdasarkan data dan fakta yang sahih,” katanya.
Kenyataan Dr Anuar disuarakan susulan beberapa kes tragik yang menggoncang negara baru-baru ini, antaranya kes kematian pelajar Zara Qairina, yang siasatan memberi tumpuan kepada unsur buli dan pengabaian.
Terbaru, kes rogol yang berlaku di sebuah sekolah di Melaka yang menyebabkan beberapa pelajar lelaki ditahan dan dibuang sekolah; serta insiden bunuh terbaru yang dilaporkan berlaku semalam dan kini disiasat pihak berkuasa.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi