Gesaan agar Fadhlina letak jawatan ‘trending’ susulan rentetan tragedi pelajar

BANGI, 23 RABIULAKHIR – Gesaan supaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan semakin lantang di media sosial, susulan rentetan tragedi membabitkan pelajar sekolah yang menimbulkan persoalan besar terhadap keselamatan institusi pendidikan negara.

Di platform X dan Facebook, ribuan pengguna meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) yang didakwa gagal mengurus isu keselamatan serta disiplin pelajar secara tuntas.

Mereka berpendapat setiap kali insiden berat berlaku, kementerian hanya tampil dengan kenyataan umum tanpa pelan tindakan menyeluruh atau reformasi dasar yang jelas.

“Cukuplah dengan alasan dan jaminan siasatan. Kami nak tindakan, bukan lagi kenyataan ‘KPM ambil maklum’,” tulis seorang pengguna X.

“Bila cikgu nak rotan pelajar salah pun jadi isu besar, ketuk ketampi pun dilarang. Jadi macam mana guru nak mendidik dengan berkesan?” komen seorang lagi pengguna di Facebook.

Sebahagian pengguna media sosial berpendapat, masalah ini bukan sekadar soal insiden terasing tetapi mencerminkan kegagalan kepimpinan untuk mengembalikan keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.

“Kami tidak harap menteri boleh halang semua jenayah, tapi kami mahu tengok ketegasan dan dasar yang jelas. Enough is enough,” kata seorang lagi pengguna di X.

Lima Kes Berat Babit Pelajar Sekolah (Julai–Oktober 2025)

Papar, Sabah (Julai) – Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, ditemui tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.

Mahkamah Majistret Papar telah mengarahkan inkues bagi menentukan punca sebenar kematian selepas siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan unsur buli.

Pasir Mas, Kelantan (Ogos) – Seorang pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas didakwa dipukul oleh enam pelajar senior di sebuah sekolah menengah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. Enam suspek direman enam hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Alor Gajah, Melaka (Oktober) – Empat pelajar lelaki direman selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan di sekolah sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan (rogol berkumpulan). Keempat-empat suspek telah dibuang sekolah serta-merta, namun dibenarkan menduduki peperiksaan SPM di pusat khas.

Senawang, Negeri Sembilan (Oktober) – Murid Tahun Empat ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Bedah siasat mendapati terdapat kesan tekanan pada leher. Polis telah menyiapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Petaling Jaya, Selangor (Oktober) – Pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas ditikam pelajar lelaki di kawasan sekolah.

Polis mengesahkan tiada unsur buli, namun siasatan awal menunjukkan motif berpunca daripada perselisihan peribadi.

Rentetan kes demi kes ini menambah tekanan terhadap KPM yang kini dilihat gagal meyakinkan masyarakat bahawa sekolah merupakan tempat paling selamat untuk anak-anak menuntut ilmu.

Beberapa pemerhati pendidikan turut menegaskan, krisis keselamatan pelajar yang berulang menunjukkan kegagalan sistemik dalam aspek tatakelola dan kepimpinan pendidikan negara.

“Krisis keselamatan di sekolah sama dengan krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan. Kalau tak diurus dengan baik, masa depan negara boleh hancur,” tulis seorang pengguna X yang hantaran tersebut dikongsi semula lebih 3,000 kali.

Suara rakyat kini semakin jelas – mereka mahukan tindakan, bukan lagi alasan. Menteri boleh berjiwa lembut, tetapi tidak boleh lemah apabila melibatkan nyawa dan masa depan anak bangsa.

Terdahulu, Fadhlina dalam kenyataannya menegaskan bahawa KPM mengambil serius setiap insiden melibatkan keselamatan pelajar dan memberi jaminan siasatan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa.

Namun, kenyataan itu gagal meredakan kemarahan rakyat yang menuntut perubahan dasar dan ketegasan kepimpinan di peringkat tertinggi.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Isu buli, rogol dan bunuh antara bukti sistem pendidikan negara tenat – Dr Anuar

Next Post

Lebih 9,000 rakyat Palestin masih meringkuk di penjara Israel

Related Posts