BANGI, 21 RABIULAKHIR – Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi, mengingatkan golongan lelaki supaya berhati-hati memilih sahabat untuk mengelakkan penyesalan yang dahsyat di akhirat kelak.
Dalam al-Quran, katanya Allah SWT mengingatkan mengenai bahaya kesilapan memilih kawan dalam ayat 28 Surah al-Furqan yang bermaksud: “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!”
“Atas dasar itulah, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa pendirian seorang lelaki itu terkadang bergantung kepada pegangan agama sahabatnya juga.
“Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad, Sabda Rasulullah: “Seorang lelaki itu (bergantung kepada pegangan) agama sahabatnya. Maka perhatikanlah dengan siapa kamu bersahabat,” katanya dalam tulisan di media sosialnya.
Dr Ahmad Sanusi menyatakan pandangan itu berikutan tular kes empat pelajar sekolah menengah yang disyaki terbabit dalam kejadian rogol bergilir-gilir terhadap seorang remaja perempuan.
“Tular semalam kes rogol bergilir-gilir, ada kawan yang menjaga pintu, ada kawan yang merakam,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa manusia akan mulia andai dihiasi dengan agama.
“Jika tidak, manusia berupaya menjadi lebih teruk dari binatang. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.”
Dalam kes terbaru itu, empat pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 17 tahun ditahan selepas dipercayai memperkosa seorang pelajar perempuan di sebuah bilik asrama. Dua lagi rakan mereka disyaki menjadi penjaga pintu dan perakam video kejadian tersebut.
Polis mengesahkan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan semua suspek direman untuk siasatan lanjut.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi