
DATUK SARIMAH AHMAD
SUBANG JAYA: Meraikan ulang tahun kelahiran pada tanggal 28 April, setiap tahun, bintang legenda, Datuk Sarimah Ahmad mempunyai cara tersendiri sebagai hadiah atas penambahan usianya.
Sarimah berkata, dia akan memastikan dirinya khatam al-Quran yang sudah menjadi rutin hidupnya setiap kali tarikh istimewa bakal menjelma.
“Rutin harian saya lebih kepada mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, sejak tidak berlakon. Saya bangun awal pagi dan selesaikan apa yang patut. Selepas menunaikan solat Dhuha, barulah saya mengambil sarapan dan melakukan senaman ringan.
“Saya akan pastikan mengaji al-Quran, setiap hari. Seingat saya, setiap kali hari ulang tahun kelahiran, saya akan khatam membaca al-Quran.
“Tahun ini, saya mula mengaji pada hari pertama Ramadan dan Alhamdulillah, sehari sebelum tarikh hari jadi tiba pada 28 April, saya sudah pun khatam sebanyak dua kali.
“Saya meluahkan rasa syukur kerana inilah sahaja cara saya untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri,” katanya kepada BH Online.
Meraikan ulang tahun ke-80 pada 28 April lalu, pemegang watak Marjina dalam filem klasik, Ali Baba Bujang Lapuk ini meluahkan perasaan kecewa apabila ada pihak menyebarkan berita palsu kononnya kini terlantar sakit.