BANGI, 21 RABIULAKHIR – Walaupun kerajaan melalui Belanjawan Madani Keempat 2026 menzahirkan usaha untuk mengekalkan pertumbuhan dan mengawal defisit, BERJASA menyarankan beberapa perkara asas ekonomi perlu diperbetulkan.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif, berkata ini bertujuan supaya ekonomi Malaysia dapat dikembalikan ke landasan yang betul dan untuk kesejahteraan rakyat, terutama Bumiputera.
Menurutnya, kerajaan perlu fokus terhadap pengukuhan ekonomi Bumiputera melalui Model Ekonomi Efektif dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan agensi pembangunan digabungkan di bawah satu pelan hala tuju berpaksikan pemilikan aset, bukan hanya program jangka pendek.
“Kerajaan perlu mewujudkan dana pemerkasaan Usahawan Desa dengan 10 peratus daripada belanja pembangunan wajar diperuntukkan bagi membina ekosistem ekonomi tempatan di daerah-daerah majoriti Bumiputera.
“Kembalikan dasar industrialisasi nasional berasaskan teknologi tempatan dengan fokus kepada automasi, AI (Kecerdasan Buatan) dan pertanian pintar agar ekonomi desa tidak ketinggalan dalam gelombang digital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Hamdan berkata kerajaan juga perlu melaksanakan audit ketirisan nasional tahunan agar setiap sen perbelanjaan awam dipantau secara terbuka, bukan sekadar melalui laporan jabatan.
Selain itu, katanya BERJASA meminta kerajaan mengurangkan birokrasi dan syarat untuk rakyat memohon bantuan kerajaan memandangkan sudah banyak aduan diterima daripada rakyat mengenai perkara ini.
Pada masa sama, katanya kerajaan wajar segera menetapkan definisi golongan miskin yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.
Mengulas Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata berdasarkan perbandingan antara Belanjawan 2025 dan Belanjawan 2026, sebenarnya pertumbuhan perbelanjaan tiada peningkatan produktiviti yang begitu ketara.
Menurutnya, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM470 bilion, meningkat RM18 bilion (4 peratus) berbanding RM452 bilion pada 2025.
“Peruntukan RM470 bilion itu merangkumi RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM50.8 bilion untuk pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan).
“Namun demikian, pertumbuhan ekonomi diunjur hanya sekitar 4 peratus hingga 4.5 peratus, lebih rendah daripada unjuran 2025 iaitu 4 peratus hingga 4.8 peratus yang mana ia menunjukkan peningkatan perbelanjaan kerajaan tidak selari dengan produktiviti ekonomi sebenar,” katanya.
Dalam soal defisit fiskal pula, katanya kerajaan menyasarkan kadar fiskal diturunkan daripada 3.8 peratus pada 2025 kepada 3.5 peratus untuk 2026, namun kelihatan sukar untuk dicapai memandangkan hutang baharu kekal tinggi sekitar RM77 bilion sama seperti sebelum ini.
Menurutnya, hasil kutipan negara dijangka meningkat untuk 2026 iaitu RM343.1 bilion, berbanding RM334.1 bilion pada 2025 yang mana ia banyak disumbangkan oleh kutipan hasil cukai tidak langsung dan penyasaran subsidi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi