BANGI, 16 RABIULAKHIR – Topik mengenai status pribumi dan gelaran ‘pendatang’ sering menarik perhatian masyarakat, malah pada satu tahap boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum tertentu.
Antara perkara yang diperdebatkan dalam kalangan kaum bukan Melayu (tidak termasuk orang Sabah dan Sarawak) ialah mengapa mereka masih tidak mendapat status pribumi sedangkan sudah berada di Malaysia sejak beberapa generasi lalu.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, menjelaskan isu ini sebenarnya tidak ada kaitan dan isu perkauman, sebaliknya ia menyentuh dasar yang diamalkan negara ini.
“Apabila kita dengar orang Melayu tiga atau dua generasi boleh jadi bumiputera, tetapi mereka yang lima generasi masih tidak mendapat status pribumi kerana tidak ada proses asimilasi.
“Dasar Malaysia adalah dasar integrasi. Malaysia lain daripada Indonesia dan Thailand. (Negara ini) tidak memaksa warganegara kita berasimilasi dan ini yang mereka perlu tahu.
“Apabila integrasi, ada bangsa Melayu dan bangsa bukan Melayu dalam konteks warganegara Malaysia.
“Jadi apabila kita sebut identiti Malaysia, ada dua, pertama dari rumpun Melayu iaitu identiti asal pribumi di Malaysia dan yang kedua ialah Malaysia sebagai identiti politik, bukan identiti rumpun atau identiti asing jadi apabila kita sebut bangsa Malaysia,” katanya kepada TV Pertiwi.
Tukar status kepada pribumi
Dalam pada itu, Prof Murad berkata, menegaskan bahawa status pribumi ini sebenarnya bukan eksklusif di Malaysia kerana setiap negara mempunyai ‘penduduk asal’.
Justeru, beliau berkata, kecelaruan dan salah tafsir mengenai status pribumi yang sedang berlaku di Malaysia hari ini ialah kerana ada gerakan daripada pihak tertentu yang cuba menafikan keperibumian orang Melayu.
“Ini yang berlaku apabila orang Cina mahukan status tapak UNESCO kampung baharu.
“Mereka menggunakan usaha itu, inisiatif itu untuk memperibumikan identiti mereka di Malaysia.
“Dengan itu, lama-lama menafikan status pribumi orang Melayu itu sendiri sedangkan orang Melayu itu sudah memang pribumi sama seperti orang Asli, orang Sabah dan Sarawak,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Prof Murad berkata, tidak ada masalah sekiranya kaum bukan pribumi mahu mendapatkan status tersebut, dengan syarat mereka perlu berasimilasi dengan identiti tempatan seperti yang dilaksanakan Indonesia.
Beliau berkata, ini bermaksud penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara utama dan mengamalkan budaya adat resam Melayu.
“Kalau dari segi takrif umum, mereka boleh jadi Melayu dan diterima sebagai Melayu sebab mereka bertutur bahasa Melayu dan mengamal adat resam Melayu.
“Tidak semestinya mereka (perlu) masuk Islam. Kita sebagai orang Melayu cuma tidak mahu ciri-ciri identiti lain selain daripada identiti tempatan sahaja,” ujar beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi