IDENTITI bantah Tourism Malaysia promosi acara Halloween di Sunway Lagoon

BANGI, 16 RABIULAKHIR – Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI) membantah sekeras-kerasnya tindakan Tourism Malaysia mempromosikan acara bertema Halloween yang sedang berlangsung di Sunway Lagoon.

Baru-baru ini, laman rasmi agensi pelancongan negara itu menyiarkan promosi acara Night of Fright 11, yang berlangsung dari 26 September hingga 2 November 2025 di Sunway Lagoon, Bandar Sunway.

Acara tersebut menggunakan tema seram berunsur Halloween dengan slogan berbunyi “Don’t let FOMO haunt you—scream your heart out at Night of Fright 11!” dan turut menampilkan elemen kostum, hantu serta rumah berhantu sebagai tarikan utama.

Presiden IDENTITI, Islah Wahyudi Zainudin menegur keras tindakan tersebut dan mempersoalkan kewajaran sebuah agensi kerajaan terlibat dalam usaha menormalisasikan budaya asing yang tidak berakar daripada nilai tempatan.

“Saya nak tanya, menteri dan pegawai yang diamanahkan, apa sudah jadi? Halloween bukan budaya kita.

“Semua budaya asing pun kita nak kena tiru juga? Budaya makan anjing di Yulin, China pun kita nak tiru buat dekat Lukut? Perayaan mandi bogel Kumbh Mela di India juga kita kena tiru buat di Sungai Klang?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa budaya tempatan yang telah lama diamalkan pun dihentikan apabila bercanggah dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Sedangkan budaya tempatan kita macam Pesta Puja Pantai yang beratus tahun diamalkan pun kita hentikan bila bercanggah dengan Islam agama Persekutuan,” katanya lagi.

Islah menjelaskan, promosi acara berunsur Halloween ini bukan sahaja mencemarkan imej negara Islam, malah dilihat sebagai satu bentuk “pembodohan budaya” yang menjejaskan identiti Malaysia.

Beliau berkata, sepatutnya elemen warisan Islam seperti tulisan Jawi yang diiktiraf dalam Akta Warisan Kebangsaan dijadikan tumpuan promosi sebagai wajah sebenar Malaysia.

“Halloween ini bukan budaya kita. Jawi adalah budaya kita. Itu warisan yang dipelihara dalam Akta Warisan Kebangsaan. Itu yang perlu dikomersialkan sebagai wajah kita, bukannya Halloween atau segala wajah asing ni,” ujarnya.

Halloween sering dikaitkan dengan unsur tahyul, pemujaan roh dan simbol-simbol gelap yang bertentangan dengan nilai Islam. 

Banyak negara Islam lain turut menolak sambutan itu kerana dianggap tidak membawa nilai kebaikan serta memupuk ketakutan dan hiburan berlebihan berunsur syirik.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Global Hayat bersama 16 NGO lancar ‘The Rightful Gift’, seru rakyat Malaysia terus bantu Gaza

Next Post

Melayu bukan pendatang! Menangkis usaha memutar sejarah Tanah Melayu

Related Posts