BANGI, 16 RABIULAKHIR – Kontroversi membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung hidangan arak dalam satu majlis rasmi kerajaan terus mencetuskan kecaman ramai pihak termasuk netizen, pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ini bukan kali pertama Tiong King Sing mencetuskan kontroversi, namun sehingga kini, belum ada sebarang tindakan tegas dikenakan terhadapnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada King Sing dan kementeriannya agar memastikan kesilapan menghidangkan minuman keras di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Namun rata-rata netizen dan beberapa pemimpin menganggap amaran itu tidak memadai, malah mendesak agar King Sing digugurkan daripada Kabinet memandangkan kesalahan tersebut menyentuh sensitiviti umat Islam.
Seorang pengguna Facebook, Radzuan Maasan berkata, tindakan yang sepatutnya diambil ialah mengeluarkan surat amaran rasmi, menggantung tugas atau menamatkan perkhidmatan menteri berkenaan.
Sementara itu, netizen lain, Mansur Tza turut menegaskan King Sing wajar digugurkan daripada Kabinet dan kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap beliau.
Bagi Shairulafizan Muhammad Shamsuddin pula, jika penjawat awam terbabit dengan kesalahan berkaitan dadah atau alkohol ketika bekerja, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib atau disiplin.
“Ini kesalahan serius dilakukan oleh menteri. Mohon tukar la menteri. Banyak kali dah kontroversi. Memalukan imej kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri,” katanya.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menegaskan dasar kerajaan adalah jelas dan tegas, tidak membenarkan minuman keras dihidangkan sama sekali dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.
“Semua pihak dalam institusi kerajaan, termasuk berjawatan menteri harus lebih peka dan sensitif terhadap peraturan serta undang-undang. Tindakan menteri dan kementerian ini amat dikesali dan mereka telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi perkara sama,” katanya.
Kecaman terhadap King Sing turut disuarakan oleh beberapa pemimpin dan NGO yang menganggap tindakan tersebut biadab dan memalukan.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, hidangan alkohol dalam majlis rasmi kerajaan bercanggah dengan Pekeliling Perbendaharaan berhubung keraian rasmi serta tidak selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai tidak sensitif terhadap umat Islam, lebih-lebih lagi ketika perhatian masyarakat kini tertumpu kepada keselamatan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), sambil menggesa pemecatan segera King Sing.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut senada, menegaskan bahawa walaupun kerajaan menghormati kepelbagaian agama dan budaya, acara rasmi kerajaan wajib mengambil kira sensitiviti umat Islam selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama negara.
Terdahulu, tular gambar memaparkan majlis Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah anjuran Tourism Malaysia yang didakwa menghidangkan minuman beralkohol.
King Sing dalam reaksinya menjelaskan, majlis tersebut dianjurkan oleh pihak industri dan sektor swasta yang teruja dengan penganjuran acara global berkenaan sehingga menaja serta meraikan rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu.
Namun, kenyataan itu gagal meredakan kemarahan rakyat yang berpendapat bahawa apa jua acara rasmi kerajaan tetap tertakluk kepada garis panduan dan kepekaan terhadap Islam sebagai agama negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi