BANGI, 15 RABIULAKHIR – Presiden BERJASA mengecam tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang seolah-olah membenarkan penghidangan minuman beralkohol dalam majlis rasmi, meskipun beliau menafikan majlis itu dianjurkan oleh kementeriannya.
Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan, walaupun majlis tersebut dianjurkan oleh pihak industri swasta dan pihak berkenaan telah memohon maaf, tindakan itu tetap menimbulkan persoalan besar terhadap penghormatan menteri berkenaan terhadap Islam sebagai agama Persekutuan.
“Majlis rasmi seharusnya mencerminkan nilai dan adab pentadbiran yang berteraskan Perlembagaan serta sensitiviti umat Islam.
“Apakah ini bukan satu bentuk pelanggaran terhadap semangat kedaulatan negara yang berpaksikan Islam dan Raja-Raja Melayu?
“Mengapa seorang menteri boleh bertindak sebegitu dalam acara rasmi tanpa sebarang kepekaan terhadap agama dan budaya majoriti rakyat,” soalnya.
Beliau menekankan bahawa kedaulatan Islam tidak boleh dipermain atau dicabar atas nama keterbukaan.
“Setiap pemimpin wajib menjaga maruah institusi kerajaan daripada dicemari perlakuan yang tidak menghormati dasar negara,” katanya.
Ustaz Zamani juga menegaskan, sekiranya tindakan Tiong benar-benar menjatuhkan kedaulatan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mengambil tindakan tegas, termasuk menggugurkan kewarganegaraan beliau sebagai langkah maksima atau sekurang-kurangnya menggugurkan beliau dari Kabinet.
“Saya harap kedaulatan negara, iaitu sensitiviti agama Islam, sentiasa dijaga dalam amalan kerajaan dan tidak sesekali dicemari oleh individu yang tidak waras,” katanya.
Tiong sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila dikaitkan dengan penghidangan minuman beralkohol dalam majlis Global Travel Meet sehingga menerima kritikan daripada pelbagai pihak.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi