Dari Nama Asal ke Nama Kolonial: Strategi Penjajah Menghakis Warisan Melayu

BANGI, 14 RABIULAKHIR – Ketika negara baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68 pada bulan lalu, isu mengenai menyah identiti penjajah kembali dibangkitkan terutama selepas ia diutarakan oleh seorang aktivis NGO daripada IDENTITI, Islah Wahyudi Zainudin.

Cadangan beliau untuk menukar beberapa nama tempat, bermula dengan Port Dickson – ditukarkan kepada Pantai Dermaga – adalah sebagai simbolik untuk mengembalikan warisan tempatan dan membuang sebarang identiti yang dibawa oleh penjajah suatu ketika dahulu. 

Cadangan itu telah mengundang begitu banyak reaksi dan maklum balas, sama ada dalam kalangan masyarakat serta pihak kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Dalam situasi ini, terdapat dua pandangan iaitu mereka yang bersetuju supaya nama tapak atau tempat yang mengandungi elemen penjajahan ditukarkan, manakala terdapat satu lagi kelompok yang menolak cadangan tersebut atas alasan mengekalkan ‘nilai sejarah’ di kawasan tersebut.

Mengulas mengenai reaksi itu, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, situasi ini terus diperdebatkan apabila ramai kalangan rakyat yang masih terperangkap dengan pemikiran kolonial atau dalam kata lain, menjadi mangsa kepada ‘penjajahan minda’.

Menurut beliau, penjajahan minda merujuk kepada pemikiran yang dirasuk oleh ideologi penjajah dan situasi ini masih berlaku meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan pada 1957.

Dalam menjelaskan perkara ini, Prof Murad menegaskan, orang ramai perlu memahami terlebih dahulu erti penjajahan supaya mereka tahu implikasinya terhadap sesebuah negara dan mempengaruhi pemikiran bangsanya.

Dalam memahami konsep ini, beliau menjelaskan, penjajahan perlu dilihat sebagai satu sistem, struktur permikiran dan satu konsep yang mana struktur yang lebih besar menakluki sekumpulan manusia atau bangsa yang dianggap lebih kolot atau lemah.

Oleh itu, Prof Murad berkata, empat perkara yang berlaku ketika penjajahan iaitu, etnosid, epistemisid, memorisid dan genosid. 

“Etnosid merujuk kepada mengubah atau membungkam nama tempat selain daripada mencuri, menjarah, memadamkan identiti bahasa dan sejarah di kawasan yang dijajah.

“Seterusnya ialah epistemisid iaitu memusnahkan atau menghakiskan ilmu mengenai tempat dan bangsa manakala memorisid merujuk kepada usaha memadamkan segala memori atau peringatan mengenai bangsa di kawasan yang dijajah.

“Genosid pula ialah pembunuhan bangsa secara fizikal seperti apa yang kita sedang saksikan berlaku di Gaza,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Prof Murad menjelaskan bahawa beberapa elemen ini juga berlaku ketika kedatangan penjajah di Tanah Melayu yang menyaksikan beberapa nama tempat telah diubah.

Katanya, contoh yang dapat dilihat pada hari ini ialah Georgetown yang sebelum itu nama asalnya ialah Tanjung Penaga atau Taiping yang terdahulu dikenali sebagai Kelian Pauh.

Jelas beliau, tujuan nama-nama itu diubah kepada nama kolonial telah memberi andaian kononnya tapak tersebut tidak ada penghuni, budaya, sebarang kegiatan mahupun kehidupan.

“Ini memberi gambaran bahawa tempat-tempat yang diberi nama ‘orang putih’ itu ialah tempat baharu yang dimiliki mereka.

“Ini yang paling ketara menunjukkan bahawa ia telah menghakis memori dan sejarah tapai itu dan kalau kita lihat tapak itu sebagai satu rangkaian tapak dalam sebuah negara, maka hakisan memori dan sejarah sebuah negara dibuat secara tersusun,” ujarnya.

Justeru itu, Prof Murad menyambut baik usaha Islah dan NGO-NGO tempatan yang mendesak pihak bertanggungjawab untuk menukar kembali tempat yang diberi nama kolonial kepada nama asal sebagai mengangkat kembali identiti dan warisan tempatan.

Bagaimanapun, katanya, usaha yang dijalankan secara ‘ad-hoc’ itu dilihat tidak akan menyelesaikan masalah ini sekiranya tiada kerjasama daripada pihak kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Oleh itu, beliau menggesa supaya kerajaan mewujudkan satu dasar khas untuk pemberian nama tempat sekiranya pihak berkuasa serius untuk menuju ke arah sebuah negara bangsa yang lebih kukuh.

“Dasar yang perlu diamalkan dan dilaksanakan oleh PBT sebab tanggungjawab dan bidang kuasa untuk mengubah nama tempat terletak kepada mereka. Mereka ini tidak ada perspektif. Maksudnya, mereka tidak ada kesadaran sejarah sama ada di peringkat atasan mahupun ahli-ahli majlis.

“Pada saya, merekalah yang bertanggungjawab, yang berdepan dengan ini dan mereka perlu mempunyai satu semangat nasional. 

“Perlu ada usaha pentadbiran dan dasar untuk mengubah nama-nama tempat yang berasal daripada kolonial secara dasar. Tidak semestinya semua tetapi secara umum,” tambah beliau. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sombong ‘pertahan’ hidangan arak, PM digesa pecat King Sing

Next Post

2 Tahun Taufan Al-Aqsa: Forum Global Hayat kupas perjuangan Palestin

Related Posts