BANGI, 14 RABIULAKHIR – Sempena memperingati genap dua tahun serangan ‘Taufan Al-Aqsa’, pertubuhan kemanusiaan Global Hayat akan menganjurkan satu Forum ‘2 Tahun Taufan Al-Aqsa’ pada 7 Oktober 2025, bertempat di Dewan Ibu Pejabat ISMA, Bandar Baru Bangi.
Forum yang akan berlangsung dari 11 pagi hingga 2 petang itu bakal mengupas perkembangan terkini perjuangan rakyat Palestin serta menilai semula kesan besar operasi ketenteraan rejim Zionis yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa sejak 2023.
Antara panelisnya ialah Pengurus Dunia Palestin Network, Ahmad Nu’man Mazlan; Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Isra’ Syed Ibrahim; dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat.
Forum ini akan dikendalikan oleh personaliti TV dan Ketua Pengarang terkenal, Finaz Yunus.
Majlis turut akan menyaksikan ucaptama dan pelancaran kempen “The Rightful Gift” oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Hayat, Muhd Farhan Muhd Fadhil, sebagai usaha berterusan membantu rakyat Palestin melalui saluran kemanusiaan yang sah dan berprinsip.
Taufan Al-Aqsa merujuk kepada serangan besar-besaran rejim Zionis ke atas rakyat Palestin sehingga menyebabkan penderitaan meluas di Semenanjung Gaza.
Forum ini dianjurkan bagi memberi kefahaman mendalam mengenai perjuangan rakyat Palestin serta menggerakkan solidariti berterusan umat Islam terhadap pembebasan Masjid Al-Aqsa.
Penganjuran forum ini dijangka menjadi medan penting bagi memperkukuh kefahaman umat Islam tentang perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa serta menggerakkan solidariti berterusan terhadap rakyat Palestin yang masih menderita di bawah kepungan rejim Zionis.