BANGI, 11 RABIULAKHIR – Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang meluluskan tiga resolusi mendesak kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sehingga digubal semula bagi melindungi hak pemilik hartanah dan mengelak eksploitasi pemaju.
Ketua Pasukan Khas Umno untuk penambahbaikan RUU URA, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, draf awal URA dilihat terlalu banyak kelompongan dan tidak memberikan perlindungan menyeluruh kepada pemilik.
Malah, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, URA berisiko membuka ruang kepada penyingkiran komuniti sedia ada.
“Kita tidak boleh korbankan hak dan kepentingan pemilik rumah semata-mata atas nama pembangunan semula bandar,” katanya selepas konvensyen itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Johari yang Ahli Parlimen Titiwangsa, menegaskan konvensyen itu bukan untuk menolak pembangunan, tetapi menuntut dilakukan dengan adil, inklusif dan telus demi memelihara sejarah, budaya dan komuniti bandar.
Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar mengemukakan tiga resolusi utama, dengan resolusi pertama mengemukakan 14 cadangan khusus bagi menutup kelemahan ketara dalam draf RUU URA yang dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini.
Antara cadangan itu ialah memastikan hanya pemaju yang benar-benar berwibawa dan kukuh kewangan dibenarkan melaksanakan projek, dengan penguatkuasaan ketat seperti Bon Pelaksanaan dan penalti lewat siap (LAD).
Konvensyen itu juga mahu pampasan kepada pemilik rumah melibatkan nilai penuh hartanah, kos gangguan semasa pemindahan, serta pampasan akibat kehilangan pendapatan, bukan semata-mata berdasarkan nilai pasaran semasa.
Nilai ambang persetujuan juga dicadangkan sekurang-kurangnya 95 peratus persetujuan diperlukan bagi bangunan berusia kurang 50 tahun dan 90 peratus bagi yang lebih lama.
Akta Pengambilan Tanah pula hanya digunakan sebagai jalan terakhir.
Selain itu, projek pembangunan semula yang melibatkan bangunan usang atau terbengkalai mesti disokong dengan laporan teknikal terperinci daripada agensi profesional seperti JKR sebelum sebarang tindakan diambil.
Konvensyen turut menuntut pengiktirafan terhadap penyewa lama dan pemilik yang masih berhutang bank sebagai pihak berkepentingan, agar mereka tidak diketepikan daripada pelan pampasan atau penempatan semula.
Larangan terhadap sebarang tindakan memaksa penduduk berpindah sebelum ambang persetujuan dicapai juga dikemukakan sebagai satu fasal wajib dalam RUU yang digubal semula.
Semua pembangunan juga mesti mendapat kelulusan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dengan peranan aktif Menteri Besar atau Ketua Menteri, bukan hanya Menteri Persekutuan.
Konvensyen menegaskan keperluan definisi undang-undang yang jelas bagi membezakan antara ‘redevelopment’ (pembangunan semula), ‘regeneration’ (penjanaan semula) dan ‘refurbishment’ (penyenggaraan), bagi mengelakkan salah guna kuasa dan kekeliruan pelaksanaan.
Sebarang unsur paksaan oleh pemaju terhadap penduduk perlu dijadikan kesalahan jenayah dan tindakan undang-undang mesti diambil terhadap mana-mana pemaju atau ejennya yang terbukti melakukannya.
RUU juga mesti memasukkan mekanisme untuk mengelakkan ‘gentrification’, apabila penduduk asal tidak lagi mampu tinggal di kawasan mereka akibat peningkatan kos dan perubahan demografik.
Sementara itu, resolusi kedua menggesa kajian semula secara menyeluruh dan pindaan bersepadu terhadap akta sedia ada, sementara menunggu RUU URA digubal semula.
Pindaan itu bagi memastikan matlamat pembaharuan semula bandar tercapai dan tidak bertindih dengan 10 akta sedia ada termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dan Akta Pengurusan Strata 2013.
Resolusi ketiga konvensyen mencadangkan penubuhan sebuah badan berkanun khusus bagi menyelaras semua projek pembangunan semula dan menyelesaikan pertikaian antara penduduk, pemilik dan pemaju.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi