URA: Pembangunan semula atau pengusiran penduduk?

BANGI, 8  RABIULAKHIR – Rang Undang-Undang (ruu) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang akan dibentangkan semula di Parlimen, Oktober ini menyebabkan tidur sebahagian penduduk terganggu dengan mimpi ngeri – rumah yang didiami sejak puluhan tahun hilang hanya dengan tandatangan majoriti jiran.

Kerajaan melalui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berhujah URA amat penting. 

Menurutnya, URA menjadi jalan keluar bagi memajukan semula kawasan usang, mengatasi projek terbengkalai, dan memberi wajah baharu kepada bandar. Dalam logik kerajaan, ini peluang menghidupkan semula ekonomi dan memulihkan kawasan lama yang terbiar.

Namun logik di atas kertas jarang sama dengan keresahan di lapangan. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili penduduk, parti politik dan badan profesional sepert Majlis Peguam lantang menegur ambang persetujuan pemilik yang rendah. 

Ada cadangan serendah 51 peratus yang dilihat menggadaikan hak minoriti. Ini bukan sekadar soal pembangunan, tetapi soal keadilan dan tanpa persetujuan menyeluruh, apa yang dinamakan pembaharuan boleh bertukar menjadi pengusiran.

Kritikan lain tertumpu pada kuasa besar menteri untuk mengisytihar mana-mana kawasan sebagai zon pembaharuan. Bayangan campur tangan politik atau kepentingan pemaju mencetuskan keraguan. Adakah undang-undang ini benar-benar melindungi rakyat atau membuka pintu kepada kerakusan pasaran?

Sejarah mengingatkan kita seperti yang berlaku di Kampung Sungai Baru. Walaupun berbeza kerangka undang-undang, kejadian di penempatan Melayu tengah-tengah Kuala Lumpur menjadi contoh bagaimana penduduk kecil berasa terpinggir apabila projek mega mengambil alih. 

Trauma itulah yang membuatkan rakyat sukar percaya kepada janji “jaminan pampasan” atau “penempatan semula”.

Namun, tidak semua menolak. Ada yang melihat URA sebagai keperluan. Mereka berhujah, tanpa kerangka undang-undang baharu, bandar lama akan terus reput, nilai hartanah jatuh, dan generasi muda dipaksa keluar mencari rumah di pinggir bandar.

Di sinilah letaknya dilema URA, antara membina masa depan bandar dengan harga menyingkirkan sebahagian warga asalnya.

Menjelang 6 Oktober ini, soalan sebenar bukan sekadar apakah URA akan diluluskan, tetapi sejauh mana kerajaan sanggup mengimbangkan kepentingan ekonomi dan hak asasi pemilik kecil. 

Jika suara rakyat terus diabaikan, pembaharuan bandar mungkin hanya tinggal nama sedangkan yang diperbaharui hanyalah keresahan lama.

Apakah URA?

Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) ialah undang-undang baharu untuk “membaik pulih dan membangunkan semula” kawasan bandar lama. 

Kenapa bahaya?

URA membuka pintu pengambilalihan dan pengusiran dengan ambang persetujuan di bawah 100 peratus. Draf RUU itu menetapkan 80 peratus (bangunan ≤30 tahun), 75 peratus (>30 tahun) dan hanya 51 peratus bagi bangunan “terbengkalai dan tidak selamat”.

Ini memberi ruang memaksa pemilik minoriti menggadai harta kepada keputusan majoriti dan pemaju. Majlis Peguam Malaysia menyifatkan peratusan ambang itu terlalu rendah dan mencabul hak milik dan mendesak ambang minimum 85–90 peratus serta semakan bebas ke atas persetujuan

Siapa yang paling terdedah?

Pemilik kecil, pesara, penyewa lama flat kos sederhana dan rendah, iaitu kumnpulan yang secara praktikal sukar berpindah atau menanggung kos sementara. Pengalaman Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur adalah contoh dengan proses yang kabur dan tekanan masa menimbulkan rasa pengusiran, bukannya pemulihan bandar. URA berisiko menggandakan trauma itu pada skala lebih luas. 

Adakah kuasa eksekutif terlalu luas?

Ya. Selain ambang persetujuan yang rendah, pengkritik menegaskan peruntukan yang membolehkan menteri atau pihak berkuasa negeri mengisytiharkan “kawasan pembaharuan bandar”, seterusnya memacu pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah. Ini memusatkan kuasa, menipiskan timbang tara awam. 

Apa kata pihak berkepentingan bebas?

Majlis Peguam meminta URA ditangguh atau dipinda secara besar-besaran, manakala sembilan organisasi profesional dan persatuan penduduk menolak URA, selain mahu rundingan baharu. Mereka menegaskan hak milik tidak boleh “dirompak” atas nama pembangunan semula. 

Kenapa kerajaan menangguh bacaan kedua?

Ini berikutan bantahan meluas, termasuk Ahli Parlimen kerajaan. Bacaan kedua dan undian ditunda ke sidang Parlimen pada Oktober ini. 

Garis masa URA 

21 Ogos 2025

Bacaan Pertama URA di Dewan Rakyat. 

27 Ogos 2025

Pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan keras: ambang persetujuan  terlalu rendah; gesa tunda dan dipinda. 

28 Ogos 2025

Kerajaan menangguh perbahasan dan undian ke Sidang Parlimen Oktober 2025 selepas bantahan rentas parti. 

19–23 September 2025

Menteri dan ahli politik mengakui isu URA sensitif; gesa kerajaan tidak gopoh dengan merujuk pengajaran pengalaman di Kampung Sungai Baru. 

28–29 September 2025 — Gabungan sembilan pertubuhan tegas menolak URA; Umno umum konvensyen URA pada 3 Oktober. 

6 Oktober–4 Disember 2025 — Tempoh sidang ketiga Parlimen untuk bacaan kedua (jika diteruskan). 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kenyataan ‘kerusi kanak-kanak’ tak sensitif, Anthony Loke perlu minta maaf – GPS

Related Posts