URA ancam hak Melayu, jangan terpedaya agenda DAP – BERJASA

BANGI, 8  RABIULAKHIR – Presiden BERJASA mengingatkan Ahli Parlimen (MP) Melayu-Muslim supaya tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijangka dibentangkan semula di Parlimen pada 6 Oktober ini.

Ustaz Zamani Ibrahim berkata, URA yang sebelum ini ditangguhkan mempunyai banyak kelemahan yang menimbulkan keraguan, sama ada telah diperbaiki sebelum dibawa semula oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

“Saya nak bercakap khusus kepada MP Umno (seramai) 26 orang. Kepada MP Amanah yang Muslim dan juga kepada MP Melayu yang berada dalam PKR supaya memandang bukan hanya kepada DAP yang membawanya (URA) dalam Parlimen, tetapi memandang URA dari sudut yang tersirat.

“Kita kena ingat DAP ialah parti yang membesarkan agendanya, `Malaysian Malaysia,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook, hari ini.

Ustaz Zamani menegaskan sokongan terhadap RUU itu tanpa membuat penelitian mendalam boleh memberi kesan negatif kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Kita adalah tuan di negara ini yang mesti menjaga dan mempertahankan, jangan mana-mana akta boleh mencederakan,merosakkan dan memudarkan hak keistimewaan orang Melayu di negara kita sendiri.

“Kitalah yang akan meneraju, memimpin negara ini supaya negara kita tetap memandang keistimewaan orang Melayu,” katanya.

Menurutnya, agenda `Malaysian Malaysia’ yang dibawa oleh DAP menyusahkan orang Melayu yang hidup di sebuah negara yang meletakkan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan.

Bahkan, katanya ramai pemimpin DAP menekankan bahawa Malaysia bukan negara Islam, selain banyak perkara yang lahir daripada lidah mereka menyusahkan dan membimbangkan orang Melayu. 

“Pertama mereka mengatakan Malaysia bukan negara Islam. Kedua, mereka bersungguh-sungguh mendapatkan pengiktirafan Kampung Warisan dari UNESCO terhadap Kampung Baru Cina. 

“Ketiga, bagaimana perancangan pembangunan di Pulau Pinang akhirnya menghambat orang Melayu keluar dari negeri itu. Seterusnya, bagaimana peruntukan kewangan diberikan kepada Kampung Baru Cina,” katanya.

Beliau meminta MP Melayu-Muslim supaya merenung pengertian Surah Al Imran ayat 118 yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman.”

“Siapa orang beriman? Kita. MP Umno orang beriman. MP Amanah orang beriman. MP Melayu dan PKR orang beriman. (Begitu juga) dalam PAS, kita semua termasuk dalam golongan orang beriman. Wahai orang-orang beriman. Jangan kamu berikan kepercayaan kepada orang kafir kerana sudah ternyata dari mulut-mulut mereka itu menyusahkan kamu.

“Bahkan banyak lagi perkara yang keluar dari mulut mereka. Bahkan dalam hati-hati mereka itu, lebih besar lagi perancangan yang akan mereka laksanakan untuk kepentingan mereka. Kita akan rugi. Inilah bukti-bukti yang telah kami tunjukkan oleh Allah SWT. Maka, jadilah kamu orang bijak berfikir. Jadilah kamu orang yang matang berfikir.

“Inilah peringatan tazkirah saya kepada pemimpin Melayu Muslim, tidak kira apa parti sekali pun demi untuk kita melihat dalam suasana konteks syariat, konteks bimbingan al-Quran kerana kita orang beriman dengan al-Quran. Jangan letakkan kepentingan peribadi dan parti sehingga teguran al-Quran, kita letak ke belakang,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

“Menteri patut tumpu isu lori, bukan sekadar kerusi kanak-kanak”

Next Post

Kenyataan ‘kerusi kanak-kanak’ tak sensitif, Anthony Loke perlu minta maaf – GPS

Related Posts