BANGI, 7 RABIULAKHIR – Kes kemalangan maut yang terus berulang melibatkan lori dan kenderaan berat menjadi bukti bahawa Menteri Pengangkutan gagal menampilkan pelan tindakan yang konkrit, tegas dan menyeluruh dalam menangani isu ini.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, insiden kemalangan lori di Plaza Tol Bukit Kajang baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa lori dan kenderaan berat di Malaysia masih menjadi pembunuh senyap di atas jalan raya.
Katanya, ini juga membuktikan bahawa pihak berwajib masih gagal mengambil tindakan tegas dan berkesan untuk isu yang telah disuarakan setelah sekian lama ini.
Jelas beliau, statistik data menunjukkan sebanyak 19,888 kes kemalangan melibatkan lori di seluruh Malaysia dalam tempoh Januari hingga Jun 2022 sahaja.
Beliau berkata, jumlah kematian akibat kemalangan melibatkan lori bagi keseluruhan tahun itu pula adalah sekitar 232 kematian.
“Pada tahun 2023, jumlah kematian akibat kemalangan melibatkan lori adalah 232 kematian dan 2024 pula terdapat 260 kematian di seluruh negara.
“Lebih membimbangkan, walaupun kenderaan berat hanya mewakili kira-kira 10% daripada jumlah trafik lebuh raya, ia menyumbang kepada lebih satu pertiga atau 34% daripada keseluruhan kemalangan maut di lebuh raya negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 27 September lepas, seorang bayi lelaki berusia 12 bulan dilaporkan maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
Media turut melaporkan bahawa polis telah menahan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan yang mana individu itu didakwa telah melompat keluar daripada kenderaan terbabit kerana menghadapi masalah brek.
Orang ramai terutama pengguna media sosial turut meluahkan rasa simpati terhadap mangsa yang terlibat terutama kepada pasangan Amirul Ridzuan Abu Bakar dan Nurul Husna Khairuddin yang kehilangan salah seorang daripada anak kembar mereka akibat kemalangan itu.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, BERJASA mengecam kelewatan dan kegagalan Menteri Pengangkutan untuk tampil dengan pelan tindakan yang konkrit, tegas dan menyeluruh dalam menangani isu kemalangan melibatkan kenderaan berat di negara ini.
“Menteri Pengangkutan hanya berikan janji kosong yang tiada jaminan dan tiada langsung perubahan drastik yang ingin dilakukan olehnya.
“Kerajaan sepatutnya sedar sampai bilakah nyawa rakyat yang tidak bersalah akan terus melayang dek kecuaian orang lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, BERJASA menuntut kerajaan untuk melaksanakan audit secara menyeluruh terhadap semua syarikat pengangkutan lori dijalankan segera termasuk aspek penyelenggaraan kenderaan, kelayakan pemandu dan kepatuhan kepada had beban.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan 24 jam secara konsisten di lebuh raya dengan menggunakan kamera pintar dan pusat pemantauan bersepadu dan bukan sekadar operasi bermusi.
“Hukuman lebih berat terhadap syarikat dan pemandu lori yang cuai, termasuk penggantungan lesen syarikat, denda tinggi, serta hukuman jenayah jika kecuaian terbukti meragut nyawa.
“Pembaharuan dasar nasional berkaitan pemanduan kenderaan berat, termasuk had masa pemanduan untuk mengelakkan keletihan serta standard penyelenggaraan yang lebih ketat,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi