ISNIN, 22 NOVEMBER – Persoalan sama ada PAS perlu menilai kedudukannya dalam Perikatan Nasional, PN susulan keputusan Pilihan Raya Negeri PRN Melaka, tidak berbangkit.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan, berkata;
“…. kedudukan dan hala tuju PAS bersama P-N sudah pun dimuktamadkan parti”.
Memetik Berita Harian, Nasrudin berkata, parti itu juga menerima keputusan PRN Melaka dengan terbuka dan berlapang dada, selain akan melihat aspek yang boleh ditambah baik.
Berhubung sama ada PAS akan melihat untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15. Nasrudin berkata, “PAS setakat ini tidak merombak hubungannya dalam MN”.
Selain itu, beliau memaklumkan, PAS akan mengadakan ‘post mortem’ bagi melihat secara keseluruhan keputusan PRN Melaka, yang akan diterajui mereka yang berada di luar jentera parti.