Jika pekerja Bangladesh fasih berbahasa Melayu, apa masalah kita?

BANGI, 7  RABIULAKHIR – Kemampuan pekerja warga asing di negara ini menguasai bahasa Melayu bukan perkara baharu.

Mereka datang dari Bangladesh, Nepal atau Pakistan dengan latar belakang budaya dan bahasa yang jauh berbeza.

Namun dalam tempoh singkat mampu berkomunikasi dalam Bahasa Kebangsaan. Ada yang bekerja di tapak pembinaan, kedai serbaneka atau restoran. Walaupun kosa kata terhad, mereka boleh bertutur dengan lancar dalam urusan harian.

Malah, ada yang sangat fasih dan jika tidak kerana paras rupa, kita akan menyangka mereka adalah rakyat tempatan. 

Ironinya dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri, lahir dan membesar di sini, masih ada yang gagal menggunakan bahasa Melayu dengan fasih.

Ada yang memilih untuk berbahasa Inggeris di rumah dan di tempat kerja. Ada pula yang terikat dengan bahasa ibunda sejak kecil. Bahasa Melayu mungkin difahami, tetapi untuk menggunakan secara spontan, sering kedengaran kekok, malah kadang kala terasa asing di lidah sendiri.

Bahasa untuk hidup

Jawapan kepada perbezaan ini sebenarnya mudah, iaitu bahasa Melayu menjadi keperluan hidup. Bagi pekerja asing, tanpa bahasa Melayu mereka tidak dapat mencari makan, berurusan dengan majikan, membeli barang di pasar atau menyampaikan masalah kepada pihak berkuasa.

Perkara ini dikaji secara ilmiah seperti tulisan Nur Izzah Osman dan Siti Nazleen Abdul Rabu dari Universiti Sains Malaysia (USM) bertajuk “Mobile Learning for Malay Language among Foreign Workers: A Preliminary Study” yang diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan The International Academic Forum (IAFOR) pada 2022.

Berdasarkan hasil kajian lapangan di Kuala Lumpur, mereka mendapati bahawa pekerja asing dapat mempelajari bahasa Melayu komunikasi dengan cepat apabila frasa yang dipelajari digunakan dalam keadaan sebenar.

Paksaan keadaan menjadikan bahasa itu sebahagian daripada survival. Mereka belajar bukan kerana minat dari segi akademik, tetapi kerana terpaksa. Keterpaksaan itu yang mendorong keberanian untuk mencuba, walaupun salah.

Bagi rakyat Malaysia, situasi tidak sama. Mereka boleh memilih untuk tidak menggunakan bahasa Melayu kerana wujud persekitaran pilihan. Dalam keluarga, mereka menggunakan bahasa ibunda. Dalam pendidikan, mereka mungkin mengikuti sekolah vernakular atau aliran antarabangsa. 

Di pejabat korporat, bahasa Inggeris menjadi pilihan utama. Malah di media sosial, bahasa rojak dianggap lebih ‘trendy’ dan `urban’. Ini yang menyebabkan walaupun sudah lebih 60 tahun bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan, peluang untuk benar-benar menjadi bahasa hidup masih terbatas.

Ramai rakyat Malaysia mampu menulis esei bahasa Melayu dengan baik. Sistem pendidikan memberi ruang yang besar kepada tatabahasa dan penulisan. Namun apabila keluar dari bilik darjah, bahasa itu jarang sekali dihidupkan dalam perbualan harian. Hasilnya, ramai yang boleh menulis, tetapi masih ada kurang pandai bertutur.

Ini yang menyebabkan peranan Sekolah Kebangsaan perlu diperkasakan untuk menjadi jambatan sosial yang dapat menyatukan pelajar pelbagai kaum melalui Bahasa Kebangsaan.

Namun, selagi sistem pendidikan terpisah mengikut aliran, selagi itu bahasa Melayu gagal menjadi ruang pertemuan yang sebenar. Pandangan ini hanya mengesahkan apa yang boleh kita lihat di depan mata: bahasa Melayu dipelajari, tetapi tidak dihidupkan.

Kisah di lapangan

Keadaan ini dapat dilihat di banyak ruang kehidupan. Di pasar malam, bahasa Melayu menjadi lingua franca yang menghubungkan penjual dan pembeli, tanpa mengira kaum. Namun di pejabat di Kuala Lumpur, mesyuarat korporat lebih selesa dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Di universiti pula, sebahagian besar tugasan akademik peringkat tinggi ditulis dalam bahasa Inggeris, menyebabkan bahasa Melayu berfungsi terhad pada nota ringkas atau komunikasi kasual.

Namun di tapak pembinaan atau kilang, pekerja asing tidak ada pilihan selain menggunakan bahasa Melayu. Sama ada berurusan dengan penyelia, pemandu lori atau rakan sekerja dari negara lain, bahasa itu menjadi penghubung utama. Di situlah letaknya ironi Bahasa Kebangsaan yang lebih hidup dalam kalangan warga asing.

Kembalikan bahasa ke ruang sosial

Kelemahan ini bukan soal malas, tetapi akibat kurang ruang sosial yang mendesak penggunaannya. Jika pekerja asing boleh fasih kerana terpaksa, rakyat tempatan juga akan fasih jika diberi sebab yang sama kuat untuk menggunakannya.

Penyelesaiannya bukan sekadar menambah jam pembelajaran di sekolah atau menukar silibus, tetapi memastikan bahasa Melayu benar-benar kembali ke ruang sosial: di sekolah, di tempat kerja, di media arus perdana dan di platform digital.

Media mempunyai peranan besar menormalkan penggunaan bahasa Melayu yang baik, bukan hanya sekadar hiasan rasmi tetapi sebagai bahasa yang benar-benar digunakan.

Bahasa Melayu sudah berstatus sebagai Bahasa Kebangsaan. Cuma yang perlu dilakukan sekarang ialah mengembalikannya ke kedudukan asal, iaitu bahasa yang bukan hanya dihormati di atas kertas, tetapi dituturkan dengan yakin, digunakan dengan bangga dan dirasai sebagai milik bersama.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Isu Jinjang Selatan vs Kampung Sungai Baru: Rakyat lihat, nilai dan takkan lupa

Next Post

Politik berasaskan kepentingan diri ancaman masa depan negara

Related Posts