PUTRAJAYA, 28 MUHARRAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir pihak yang memperlekehkan bantuan tunai RM100 di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) seperti diumumkan kerajaan, semalam.
Beliau menegaskan, walaupun jumlah itu dilihat kecil oleh golongan berpendapatan tinggi, ia sebenarnya membawa nilai besar kepada rakyat yang hidup dalam kesempitan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Semalam saya umumkan beberapa langkah tambahan, ada yang kata RM100 je… Kamu bergaji RM20,000, RM40,000, RM100 itu tak apalah.
“Tetapi saya tahu, kalau pergi ke kampung (ada manfaatnya),” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF), hari ini.
Menurut Anwar, bantuan tunai kepada rakyat bukan hanya terhad kepada individu, malah bagi sesebuah keluarga miskin – contohnya mereka yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan dua anak dewasa, jumlah bantuan boleh mencecah sehingga RM400.
Jika digabungkan dengan bantuan lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), jumlah keseluruhan boleh meningkat sehingga RM700
“Jadi jangan remehkan. Kerajaan tambahkan daripada peruntukan sedia ada iaitu RM13 bilion ke RM15 bilion (tambahan RM2 bilion),” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan bahawa penurunan harga bahan api dan pengekalan kadar tol secara langsung memanfaatkan golongan M40 yang paling ramai menggunakan kereta dan laluan bertol dalam kehidupan harian.
“Kalau tengok RON95, RM1.99 seliter dan beberapa langkah lain umpamanya untuk yang M40.
“Tol, kalau kita tengok B40 kebanyakannya boleh jadi pakai motosikal, minyaknya kecil,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi