Pewartawaan perluasan bandar di Pulau Pinang berisiko hapuskan kampung tradisi?

BANGI, 3 RABIULAKHIR –  Langkah kerajaan Pulau Pinang mewartakan pindaan sempadan bandar sedia ada dan mewujudkan 25 bandar baharu mencetuskan kebimbangan mengenai keberadaan kampung tradisi di negeri itu.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk, tindakan kerajaan itu dilihat sebagai langkah untuk meningkatkan hasil negeri yang terjejas kerana kedudukan fiskal kerajaan negeri itu berada dalam keadaan lemah.

Bagaimanapun, katanya, implikasi langsung daripada langkah itu berpotensi menjejaskan penduduk kampung tradisi dan luar bandar yang kini diklasifikasikan sebagai kawasan bandar. 

“Mereka akan dikenakan kadar cukai tanah kategori bandar yang lebih tinggi. Ada yang meningkat lebih 100%.

“Cukai ke atas tanah lot kediaman kampung yang sebelum ini 22 sen meter persegi, kini akan dicukai sebagai lot kediaman bandar dengan kadar 70 sen meter persegi.

“Ini merupakan beban yang nyata, terutama kepada pemilik tanah yang berpendapatan rendah dan warga emas yang mewarisi tanah keluarga sejak turun-temurun,” katanya kepada TV Pertiwi.

Media sebelum ini melaporkan, Pulau Pinang mewartakan pindaan sempadan bandar dengan memperluas sempadan 10 bandar sedia ada dan mewujudkan 25 bandar baharu di seluruh negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata keputusan itu dibuat menerusi Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 4 September 2025 selaras peruntukan Seksyen 11(ca) dan 11(d) Kanun Tanah Negara (Akta 828).

“Pindaan itu membabitkan lebih 210,000 hak milik tanah dan 184,000 hak milik strata yang akan diklasifikasikan semula mengikut status tanah baharu.

“Langkah ini amat penting bagi menyelaraskan semula klasifikasi tanah di seluruh negeri supaya seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan terbabit,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ditanya sekiranya langkah kerajaan negeri ini mempunyai impak dari sudut politi terutama melibatkan pengundi pilihan raya, Azeem berkata, perkara itu sukar untuk ditentukan dan hanya boleh diketahui selepas ia dikuatkuasakan.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa situasi di Pulau Pinang ini boleh disamakan dengan isu Kampung Sungai Baru kerana negeri itu tiada tanah rizab Melayu.

“Kebanyakan Kampung Melayu di Pulau Pinang berada di atas tanah milikan orang lain sama ada pemaju atau persendirian,” ujarnya.

Dalam pada itu mencadangkan supaya kerajaan negeri melaksanakan pendekatan lain supaya tidak menjejaskan penduduk di kawasan terlibat.

Kata beliau, antara pendekatan yang wajar diambil ialah memberi rebat khas secara berperingkat dan bersasar bagi pemilik tanah kampung tradisi dan kategori B40.

Selain itu, katanya, kerajaan juga wajar mengadakan sesi libat urus dengan komuniti terlibat secara meluas sepeti mengadakan dialog bersama wakil kampung tradisi, persatuan penduduk sebelum menguatkuasakan pewartaan dan kadar baharu secara menyeluruh/

“Untuk rungkai kekeliruan rakyat terhadap kadar cukai baharu, perlu adakan simulasi kadar cukai yang akan dikenakan supaya rakyat boleh semak sendiri terdahulu.

“Kerajaan juga disaran kaji semula garis sempadan kawasan bandar baharu yang telah diwartakan supaya kawasan luar bandar dan kampung tradisi tidak dimasukkan secara automatik tanpa mengambil kira infrastruktur semasa dan taraf sosio ekonomi penduduk,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga perlu menyemak cukai mengikut tahap pembangunan setempat.

“Sesuaikan kadar cukai berdasarkan status pembangunan sebenar, bukan semata-mata berdasarkan pewartaan.

“Kawasan yang masih kekal sebagai kampung tradisi tidak wajar dikenakan kadar cukai setara dengan bandar,” demikian menurut pandangan beliau.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ridhuan Tee ingatkan Kelantan, pantau Gua Musang supaya tak jadi seperti Kuala Lumpur

Next Post

Kerajaan berat sebelah, setinggan Jinjang dilindungi tapi pemilik sah Kampung Sungai Baru diusir

Related Posts