BANGI, 2 RABIULAKHIR – Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), sekali gus membuka peluang kepada pemegang sijil tersebut memohon biasiswa kerajaan negeri serta melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan, pengiktirafan itu akan disusuli dengan langkah yang lebih praktikal.
“Kita bukan sekadar mengiktiraf, malah akan mengambil tindakan yang praktikal. Saya telah memaklumkan kepada Menteri Kewangan Negeri bahawa kita juga akan mempertimbangkan permohonan biasiswa negeri oleh pemegang sijil ini,” katanya seperti dipetik Oriental Daily, pada Selasa.
Hajiji berkata demikian ketika menghadiri Majlis Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian Cina serta badan agama bukan Islam.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyalurkan RM70 juta sebagai bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian Cina, tokong serta badan agama bukan Islam, dan berjanji untuk meningkatkan jumlah itu kepada RM90 juta pada tahun depan.
“Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kami berusaha sebaik mungkin merancang, bekerja keras, menyelesaikan pelbagai masalah, serta memastikan semua kaum tanpa mengira warna kulit atau agama mendapat jaminan yang adil dan saksama.
“Oleh itu, saya sentiasa menyokong dan membantu mana-mana badan, NGO atau pertubuhan yang memerlukan, walaupun ia tertakluk kepada kemampuan kewangan dan sumber kerajaan,” jelas Hajiji seperti terjemahan Rafizah Cian Lin.
Beliau menambah, semangat perpaduan dan kerjasama telah menjadi garis panduan pentadbiran sejak penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lima tahun lalu.
Selain itu, Hajiji turut memaklumkan bahawa melalui peruntukan khas Ketua Menteri, pelbagai bantuan telah disalurkan termasuk menyokong sekolah Cina Sabah, persatuan kebudayaan Cina, penganjuran sambutan Tahun Baharu Cina, pembelian peralatan tarian singa, Festival Bot Naga, serta keperluan gereja dan institusi lain.
“Saya berharap sumbangan ini dapat menyokong aktiviti sekolah dan institusi agama bukan Islam di seluruh Sabah,” katanya.
UEC merupakan sijil yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan kerana menggunakan silibus luar negara, berorientasikan sistem pendidikan Taiwan dan tidak menekankan bahasa kebangsaan sebagai medium utama. Atas sebab itu, ia tidak pernah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejak dahulu lagi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi