Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 25 Jamadil Akhir — Menteri Belia dan Sukan menafikan beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Islam atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Hannah Yeoh berkata beliau sentiasa menghormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
“Saya difahamkan terdapat banyak mesej dan video WhatsApp yang bertebaran di luar sana mempolitikkan keputusan [mahkamah].
“Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam di Malaysia.
“Saya sudah mengangkat sumpah jawatan saya serta bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ianya adalah sumpah yang saya ambil dengan serius,” katanya.
Ahli Parlimen Segambut pada Isnin gagal mengemukakan saman terhadap bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.
Beliau memfailkan saman terhadap Musa susulan kenyataan dalam satu majlis di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimanapun menolak saman itu dan memerintahkan Hannah membayar kos RM40,000 kepada Musa.
Hannah, 45, berkata masih terlalu awal untuk mengulas keputusan yang dibuat mahkamah pada Isnin kerana penghakiman penuh belum dikeluarkan.
“Peguamcara saya sudah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember. Saya mengarahkan peguamcara saya untuk memohon rayuan ini didengar dengan segera.
“Saya menghormati proses kehakiman namun sudah pasti saya kecewa dengan keputusan tersebut.
“Adalah tidak wajar pada peringkat ini untuk membuat apa-apa kesimpulan tentang apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara keseluruhannya,” katanya.
Sehubungan itu, Hannah menggesa semua pihak menghormati proses kehakiman dengan tidak melakukan tindakan yang melanggar undang-undang.
Katanya, terdapat video dan mesej yang bertebaran di aplikasi WhatsApp mempolitikkan keputusan mahkamah sekaligus menjejaskan proses rayuannya di mahkamah.
“Sepertimana yang berlaku berkali-kali dalam kerjaya politik saya, kepercayaan saya sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau-pelampau agama di luar sana.
“Saya menyeru semua pihak untuk berdiri teguh membendung percubaan ini dan untuk tidak menyebarkan mesej-mesej tersebut apabila mereka melihatnya dalam talian.
“Laporan polis akan dibuat terhadap video dan mesej berniat jahat yang mampu menjejaskan rayuan saya,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI