BANGI, 2 RABIULAKHIR – Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan, kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, bulan depan tidak boleh dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kestabilan Kerajaan Madani.
Sebaliknya, beliau berkata, kedatangan Donald Trump perlu ditanggapi dengan penuh berhati-hati kerana dibimbangi membawa ancaman kepada kedaulatan negara.
Menurutnya, pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kunjungan Trump sebagai tanda pengiktirafan sukar diterima, terutama dengan mengambil kira rekod kuasa besar itu yang sering mencetuskan krisis global.
“Saya susah untuk menerima dan melogikkan kenyataan Perdana Menteri. Dari dulu lagi setiap Presiden AS, termasuk Trump, wajah mereka bukan wajah kemakmuran.
“Wajah Presiden AS sejak dulu hingga Trump hari ini ialah wajah kehancuran, kemusnahan dan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ustaz Zamani berkata, sejarah membuktikan peranan AS dalam kehancuran beberapa negara Islam seperti Iraq, Libya dan Afghanistan, selain campur tangan dalam isu Palestin.
“Baru-baru ini, di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 14 negara bersetuju gencatan senjata di Baitulmaqdis, namun AS menggunakan kuasa veto untuk membatalkannya. Ini bukti wajah sebenar Amerika,” katanya.
Menurut beliau, kedatangan Trump ke Malaysia tidak boleh dilihat hanya dari sudut diplomatik kerana ia berisiko membuka ruang perjanjian berat sebelah, terutama berkaitan kepentingan sumber nadir bumi negara.
Katanya, AS memperuntukkan AS$258 juta untuk menguasai nadir bumi sebagai sumber ekonomi dan pertahanan dengan Malaysia kini berada dalam kedudukan ketiga dunia dari segi pengeluaran sumber berkenaan.
“Malaysia memiliki kira-kira 18 juta tan nadir bumi dengan nilai mencecah RM800 bilion. Saya bimbang akan berlaku perjanjian ‘paksa rela’ yang boleh menyebabkan nadir bumi ini dipunggah ke negara mereka. Jika itu berlaku, ia adalah satu bentuk pencerobohan kezaliman terhadap kedaulatan negara,” katanya.
Ustaz Zamani juga mengingatkan kerajaan supaya tidak memandang ringan isu kedaulatan yang bukan hanya merujuk sempadan darat, laut dan udara, tetapi merangkumi hak mengurus dan mengawal sumber asli negara.
“AS melihat kita sebagai negara kecil yang mudah ditekan untuk bersetuju dengan perjanjian paksa rela. Sebab itu pimpinan negara mesti berani mempertahankan kedaulatan, bukan sekadar berani berhujah di pentas dunia,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi