BANGI, 19 RABIULAWAL – Ketika bekerja sebagai wartawan sebuah akhbar, beberapa tahun lalu, seorang wartawan muda akhbar bahasa Cina meminta bantuan untuk bertanyakan soalan dalam sidang media satu majlis.
“Mengapa awak tak tanya sendiri,” kata saya. “Oh saya tak pandai (bahasa) Melayu,” jawabnya. Usia wartawan itu mungkin masih belasan tahun. Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terus menyertai akhbar itu.
Dalam beberapa keadaan seperti hendak menemu bual waris keluarga Melayu yang terbabit dalam kemalangan di pekarangan bilik mayat hospital (sekarang dipanggil Unit Perubatan Forensik), wartawan dari akhbar bahasa Melayu akan bertanyakan soalan dan berkongsi maklumat itu dengan rakan dari akhbar bahasa Cina.
Balik kepada wartawan muda akhbar bahasa Cina itu, latar belakang pendidikannya belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan datang dari kawasan yang majoriti penduduk Cina mungkin mempengaruhi keupayaannya berbahasa Melayu.
Namun, ada saja rakan dari akhbar bahasa Cina fasih berbahasa Melayu dan majoriti belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) dan biasa berhubung dengan orang Melayu.
Selepas 68 tahun merdeka, kebolehan berbahasa Melayu masih menjadi isu yang mengundang pelbagai persoalan. Bukan hanya dalam kalangan rakyat biasa, malah ada Ahli Parlimen yang berbahas di Dewan Rakyat dengan menggunakan bahasa Melayu tunggang-langgang.
Ironis pada masa sama, pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal mampu menguasai bahasa Melayu dalam tempoh singkat. Ada yang mengambil masa beberapa bulan dan ada yang lebih lama sedikit yang membolehkan mereka berinteraksi dalam Bahasa Kebangsaan dengan majikan dan rakan setugas atau untuk urusan seharian seperti membeli barang di kedai atau berbual dengan warga tempatan.
Faktor persekitaran dan keperluan mendesak menjadi pemangkin utama. Bagi pekerja asing, bahasa Melayu bukan pilihan, tetapi keperluan. Tanpa bahasa, mereka tidak boleh bekerja, membeli barang atau berurusan dengan majikan.
Ini bermakna bahasa dikuasai melalui ‘survival mode’. Pekerja asing yang baru tiba akan cepat meniru perkataan asas seperti “makan”, “duit”, atau “kerja” sebelum mengembangkan kosa kata mengikut konteks pekerjaan. Proses ini berlaku secara semula jadi kerana mereka terdedah setiap hari.
Memetik kata-kata Sasterawan Negara, Dato’ Dr Mohd Anwar Ridhwan, proses menguasai sesebuah bahasa perlu dipelajari dengan menyebut perkataan dengan betul terlebih dahulu sebelum beralih kepada kosa kata dan tatabahasa.
Langkah seterusnya proses berterusan mendengar, menulis dan membaca serta membiasakan diri bertutur dalam bahasa yang kita pelajari dengan penutur asli bahasa itu.
Kesungguhan mempelajari bahasa Melayu bukan hanya dalam kalangan pekerja asing di sektor kolar biru atau yang berniaga. Golongan ekspatriat juga tidak ketinggalan berbuat demikian. Mereka secara proaktif belajar bahasa Melayu untuk meningkatkan komunikasi, keyakinan diri dan kesesuaian sosial dalam kerja serta interaksi harian.
Sebaliknya, bagi segelintir rakyat tempatan, kelemahan menguasai bahasa Melayu sering berpunca akibat faktor sikap dan persekitaran. Ada yang membesar dalam persekitaran menggunakan bahasa ibunda masing-masing, lalu tidak terbiasa menggunakan Bahasa Kebangsaan secara konsisten.
Apabila tiada paksaan atau keperluan mendesak, proses penguasaan bahasa jadi perlahan. Malah ada yang berasa selesa menggunakan bahasa lain, terutama di kawasan bandar atau sekolah tertentu.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, berpandangan punca utama masyarakat bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu adalah kerana mereka tidak berani keluar dari zon selesa.
“Walaupun tidak semua, tapi golongan ini kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu untuk melonjakkan anak bangsa serta memajukan negara.
“Mereka hanya berkawan dalam kelompok mereka sahaja, bertutur dalam bahasa yang sama dan makan bersama-sama, jadi mereka berasa tidak selesa sekiranya berada dalam kelompok hanya mereka sahaja merupakan minoriti.
“Selain itu, sistem pendidikan juga faktor utama tercetusnya kelemahan dalam menguasai bahasa kebangsaan iaitu pendidikan vernakular yang hanya tertumpu kepada bahasa ibunda mereka. Sebab itulah jika mahu memartabatkan Bahasa Kebangsaan, sistem pendidikan satu aliran adalah lebih baik kerana cara itulah dapat memupuk semangat perpaduan sejak kecil,” katanya.
Keadaan ini mendedahkan kelemahan masyarakat tempatan yang mengambil mudah status Bahasa Kebangsaan. Kita bercakap mengenai patriotisme dan perpaduan, tetapi jika bahasa sendiri pun tidak boleh dikuasai dengan baik, ini mencerminkan masalah sikap.
Bahasa Melayu sepatutnya menjadi ‘lingua franca’ moden yang menghubungkan semua kaum di Malaysia. Jika pekerja asing boleh menguasai demi kelangsungan hidup, tiada alasan kukuh untuk rakyat tempatan terus gagal menggunakannya secara fasih.
Perkara ini bukan soal isu bahasa, tetapi menyentuh maruah nasional. Bahasa Kebangsaan berdasarkan pengertian Perlembagaan ialah simbol identiti dan penyatuan. Jika pekerja warga asing boleh belajar dalam masa singkat, kenapa ada rakyat Malaysia masih gagal menguasai dengan baik.
Oleh: Ziauddin Sharuddin, Wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi