BANGI, 18 RABIULAWAL – Di sebuah bilik kuliah di Busan, Korea Selatan, suasana dipenuhi suara pelajar menghafal kosa kata bahasa asing yang berbeza bagai langit dan bumi dengan bahasa ibunda mereka.
Huruf-huruf Arab-Melayu bergema di udara ketika sekumpulan mahasiswa menyalin dan melafazkannya. Di hadapan kelas, seorang pensyarah begitu tekun meneliti setiap bunyi yang dihasilkan dan memberikan tunjuk ajar dengan penuh kesabaran.
Lelaki itu ialah Profesor Kang Kyoung Seok, seorang sarjana Korea Selatan yang jatuh cinta dengan tulisan Jawi.
Beliau bukan orang Melayu, bukan beragama Islam dan tidak mempunyai hubungan langsung dengan alam nusantara. Cintanya kepada Jawi lahir hasil penyelidikan akademik mengenai bahasa Melayu.
Kini berusia 70 tahun, Kang dilahirkan di Seoul. Selepas menamatkan alam persekolahan, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Pengajian Luar Negara Hankuk dalam jurusan Melayu-Indonesia di Jabatan Pengajian Indonesia pada 1974.
Selepas itu, beliau meneruskan pengajian peringkat sarjana di universiti yang sama dalam bidang interpretasi dan terjemahan. Kang kemudian menjadi pensyarah di Universiti Pengajian Luar Negara Busan dalam jurusan pengajian Melayu Indonesia.
Beliau sekali lagi menyambung pengajian peringkat sarjana dan memperoleh kesarjanaan kedua dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada 1987. Lima tahun kemudian, Kang memperoleh ijazah doktor falsafah dari Universiti Malaya.
Bermula dengan minat, ia berubah menjadi matlamat peribadi. Beliau melihat Jawi sebagai warisan persuratan yang kaya dengan sejarah, bukti interaksi antara Islam, kuasa politik dan budaya Melayu. Baginya, Jawi adalah bukti bahawa tamadun Melayu memiliki sistem penulisan yang tersendiri, sarat dengan identiti dan nilai.
Dalam kuliah yang dikendalikannya, pelajar diperkenalkan dengan asas huruf Jawi. Beliau sering meminta mereka menulis perkataan Melayu ringkas seperti “nasi goreng” dan “durian” dalam Jawi, sebagai cara mencipta hubungan budaya.
Setiap kali pelajar berjaya menulis dengan betul, Kang tersenyum puas. Baginya, detik kecil itu adalah tanda bahawa Jawi bukan hanya milik alam Melayu, tetapi boleh dipelajari sesiapa sahaja di dunia.
Cintanya terhadap Jawi tidak berhenti di kelas. Kang pernah membangunkan papan kekunci khas untuk tulisan Jawi kerana yakin teknologi adalah kunci survival tulisan ini.
Menurutnya, generasi muda hanya akan menggunakan Jawi jika mereka boleh menaipnya dengan mudah di komputer dan telefon pintar. Tanpa sokongan teknologi, katanya Jawi hanya akan jadi ukiran cantik pada papan tanda atau masjid, bukan alat komunikasi.
Beliau turut mencetuskan gagasan “Jawiology”, iaitu satu kerangka kajian yang melihat Jawi sebagai disiplin ilmu tersendiri.
Melalui gagasan itu, beliau berhujah bahawa Jawi tidak boleh dipisahkan dari sejarah panjangnya, tetapi pada masa sama perlu dibawa ke hadapan dengan peranan baharu dalam pendidikan dan komunikasi moden.
Malah, Kang menyusun teori perkembangan Jawi, daripada peringkat adaptasi huruf Arab kepada keperluan fonologi Melayu, hinggalah pembakuan ejaan dan cabaran kontemporari. Teori ini pernah dibahaskan dalam kalangan sarjana bahasa di Malaysia.
Hubungannya dengan Malaysia juga rapat. Beliau pernah menghantar pelajar negaranya ke universiti tempatan untuk mendalami Jawi secara langsung, termasuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kerjasama itu menjadi jambatan budaya yang unik ketika sebahagian besar anak muda Malaysia semakin asing dengan Jawi, pelajar Korea pula menunjukkan minat mendalaminya.
Beliau mengakui, keadaan itu terasa ironi. “Di Korea, pelajar bersemangat kerana ia sesuatu yang baharu. Tetapi di Malaysia, sebahagian menganggapnya ketinggalan zaman,” katanya.
Bagi Kang, Jawi bukan milik satu agama atau kaum. Ia adalah khazanah peradaban yang harus dipulihkan sebagai warisan nasional.
Beliau sering menegaskan bahawa jika Malaysia hanya melihat Jawi melalui kaca mata politik atau agama, tulisan ini akan kehilangan makna sebenar. Sebaliknya, ia perlu ditempatkan dalam ruang yang lebih luas, di sekolah, media, papan tanda, dokumen rasmi dan ruang digital.
Namun, ketika seorang profesor Korea Selatan gigih memperkenalkan Jawi di Busan, masa depan tulisan ini di tanah air sendiri semakin kabur. Generasi muda Malaysia semakin kurang terdedah kepada tulisan ini.
Polemik pengenalan khat di sekolah rendah pada 2019 membuktikan betapa rapuh kedudukannya, daripada wadah ilmu berubah menjadi bahan politik, diperdebatkan lebih kepada soal identiti daripada nilai budaya.
Papan tanda Jawi yang diwajibkan di beberapa negeri pula kerap menjadi bahan perbalahan politik, ditolak sebahagian pihak sebagai simbol “Islamisasi”, dan tidak dianggap sebagai usaha pendidikan masyarakat.
Di ruang digital, walaupun fon dan papan kekunci sudah tersedia, penggunaannya masih terhad. Hampir tiada aplikasi popular atau laman web utama di Malaysia yang benar-benar mesra Jawi. Sedangkan bagi Kang, inilah kunci yang paling menentukan hidup atau matinya tulisan ini. Tanpa integrasi digital, Jawi akan kekal sebagai lambang yang terukir di papan tanda, tetapi tidak wujud dalam komunikasi seharian.
Kisah Kang memberi isyarat jelas. Ketika masyarakat Malaysia masih berdebat sama ada Jawi wajar dipelajari atau tidak, seorang profesor asing sudah mengajar, mengkaji dan memperjuangkannya di luar negara.
Ketika isu khat mencetuskan kontroversi dalam politik tempatan, Kang pula membuktikan bahawa Jawi boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja tanpa prejudis.
Pesanannya mudah: tulisan akan hidup jika digunakan. Jawi mesti diajar, ditaip, dibaca dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Jika hanya dijadikan simbol budaya, ia akan perlahan-lahan pupus dan jika Malaysia sendiri gagal menghidupkan Jawi, besar kemungkinan suatu hari nanti tulisan ini akan lebih dihargai di Busan berbanding Kuala Lumpur.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi