BANGI, 16 RABIULAWAL – Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak 68 tahun lalu, negara ini masih bergelut dengan isu penguasaan bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu, yang telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan, sepatutnya menjadi medium perpaduan dan identiti nasional bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Namun realitinya, masih terdapat sebahagian rakyat yang kurang fasih, malah ada yang langsung tidak mampu bertutur atau menulis dalam bahasa Melayu dengan baik.
Lebih membimbangkan, bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang sering diangkat statusnya lebih tinggi dalam pelbagai urusan – termasuk pendidikan, pekerjaan dan komunikasi harian – dilihat mendorong masyarakat semakin memandang remeh terhadap peranan bahasa kebangsaan.
Istilah Pelacuran Bahasa Melayu
Bagi Pengerusi Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI), situasi ini dilabel sebagai ‘pelacuran bahasa Melayu’ yang merujuk kepada kiasan terhadap penyalahgunaan, pencemaran atau penyelewengan bahasa Melayu sehingga merosakkan nilai, maruah dan keasliannya.
Aktivis bahasa itu berpandangan, situasi ini terjadi apabila semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat semakin merosot hingga berasa ‘malu’ untuk mengangkat atau memperjuangkan nilai budaya kenegaraan termasuk dari aspek bahasa.
“Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang sangat penting dan termaktub secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan.
“Ini bermaksud, bahasa Melayu bukan sekadar bahasa berkomunikasi, tetapi adalah lambang identiti nasional dan simbol perpaduan rakyat.
“Justeru, ia harus dihormati, dimartabatkan dan digunakan secara meluas, bukan sahaja atas dasar perundangan tetapi juga tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada TV Pertiwi.
Bukan isu perkauman, tetapi menyentuh konsep kenegaraan
Dalam pada itu, Islah menegaskan bahawa usaha memperjuangkan bahasa Melayu tidak ada kaitan dengan isu perkauman, sebaliknya ia merupakan usaha menjunjung Perlembagaan.
Malah, katanya, bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi sebagai ejen penyatuan masyarakat dalam berkomunikasi merentas kaum.
“Malaysia sudah merdeka 68 tahun, tetapi masih ada lagi rakyat yang tidak fasih bercakap bahasa kebangsaan.
“Bagaimana warga asing yang datang dari Bangladesh atau Nepal dan sebagainya mampu menguasai bahasa ini dalam tempoh berbulan berbanding warga negara yang lahir dan membesar di negara ini? Ini tidak masuk akal,” ujar beliau.
Justeru, beliau berpandangan, isu meremehkan bahasa kebangsaan ini semakin menjadi-jadi apabila budaya negara disisihkan apabila terlalu mengagungkan budaya asing yang kononnya akan mendatangkan pelbagai manfaat.
Contohnya, beliau mempersoalkan pengekalan nama Port Dickson – daerah di Negeri Sembilan – yang mendapat nama dari pegawai tinggi British, Sir John Fredrick Dickson.
Jelas beliau, kawasan itu pada asalnya dinamakan sebagai Pekan Tanjong Kemuning dan IDENTITI bersama NGO lain kini sedang menggesa pihak berkuasa untuk menukar nama daerah itu kepada nama tempatan seperti Pantai Dermaga.
“Hairan kenapa banyak tempat menggunakan nama yang tidak mencerminkan budaya tempatan seperti Bangsar South, Southville City, George Town, Slim River dan sebagainya.
“Kuala Lumpur – walaupun ada perkataan lumpur – pun masih dikenali satu dunia sebagai ibu negara Malaysia. Jadi tidak ada isu nak tukar nama-nama kawasan kepada nama tempatan.
Mengulas lanjut, Islah berkata, pihak yang enggan mengangkat budaya tempatan dan menolak penggunaan bahasa Melayu sebenarnya tergolong sebagai pihak yang memainkan sentimen perkauman.
Malah, beliau menyifatkan golongan ini yang sebenarnya menghina kedaulatan negara kerana merendah-rendahkan budaya tempatan dan lebih mengutamakan budaya luar.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi