Kerajaan janji buat beberapa perubahan RUU URA

BANGI, 6 RABIULAWAL – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang perjalanannya terhenti di peringkat Bacaan Kedua Dewan Rakyat semalam, dijangka akan melalui beberapa penambahbaikan sebelum diteruskan semula dalam sidang akan datang, Oktober ini.

Antara pindaan yang akan dibuat termasuk beberapa fasal untuk menangani kebimbangan mengenai komposisi demografi dan ambang persetujuan pemilik hartanah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata kerajaan mengambil berat kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak berhubung komposisi penduduk di sesebuah kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda fasal ini (Fasal 18) dengan sewajarnya bagi menjamin demografi di kawasan terlibat, tertakluk perincian yang akan dibincangkan bersama Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika Bacaan Kedua RUU URA di Dewan Rakyat, semalam.

Selain itu, katanya KPKT akan meminda Fasal 19 berhubung nilai ambang persetujuan yang diperlukan daripada pemilik atau penghuni asal sebelum projek pembaharuan bandar dapat dijalankan.

Menurutnya, nilai ambang persetujuan itu akan dinaikkan sebagai menghormati pandangan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang diberikan dalam sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lalu.

“Semua nilai ambang ini diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan dengan kenaikan nilai ini daripada 75 peratus, masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberi ruang pertimbangan dalam melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak-pihak yang terlibat.

“Ia juga mengambil kira isu hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk,” katanya.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, isu lain yang akan diambil kira ialah hak milik yang dicagar atau digadai bagi pembiayaan kewangan atau seumpamanya, hak milik yang mengalami pinjaman tidak berbayar daripada institusi kewangan, suratan hak milik yang belum atau tidak dikeluarkan kepada pembeli atau pemegang perjanjian jual beli dan pemilik asal tidak dapat dikesan.

Kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan perbahasan Bacaan Kedua RUU URA selepas tentangan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan.

Ini dipercayai menyebabkan Kor Ming hanya membentangkan RUU URA  untuk Bacaan Kedua di Dewan Rakyat. Namun perbahasan dan pengundian tidak dilakukan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel tingkat pengeboman di Gaza, 16 terkorban

Next Post

Segamat dilanda gempa bumi lagi awal pagi ini

Related Posts