ISNIN, 29 NOVEMBER – Ekoran penggantian papan tanda SJKC di Pahang kepada tulisan jawi, Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN, Bilut dari parti DAP, Lee Chin Chen membidas Jabatan Pendidikan Pahang.
Beliau menyelar dan berkata tindakan Jabatan Pendidikan Pahang itu sebagai mencabar kesabaran masyarakat pelbagai kaum dan memandang rendah muafakat masyarakat sedia ada.
Memetik kenyataan Oriental Daily, Lee Chin Chen yang merupakan ketua pembangkang Negeri Pahang dalam kenyataanya semalam membidas tindakan Jabatan Pendidikan Pahang ekoran penukaran dua papan tanda SJKC bantuan kerajaan di Pekan.
Chin Chen menyifatkan tindakan tersebut umpama merebus katak dalam air suam, dan jarum halus yang digunakan untuk meluaskan penggunaan jawi dan menghapuskan Pendidikan vernakular
Lee Chin Chen sebagai ADUN DAP Bilut berkata :
‘’Tulisan rumi atau abjad Inggeris digunakan dalam penulisan Melayu moden. Tiada keperluan untuk menambah tulisan Jawi. Yang paling membimbangkan sekarang ialah Jabatan Pendidikan Pahang sudah berani menurunkan papan tanda SJKC tanpa kebenaran. Sekaligus membenarkan dakwaan kami bahawa Napoleon kecil sedang menggunakan isu Jawi untuk menghapuskan pendidikan vernakular.’’
Beliau mendakwa tiada keperluan tulisan jawi dan kewajaran untuk diletakkan pada papan tanda sekolah. Tindakan Jabatan Pendidikan Pahang disifatkan beliau sengaja memainkan isu Jawi.
Ujar beliau, dasar tulisan Jawi yang ditetapkan Dewan Undangan Negeri Pahang hanya tertakluk kepada papan tanda premis perniagaan dan tidak melibatkan papan tanda sekolah.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Pahang bertindak sesuka hati dan dan papan tanda berkenaan mesti diturunkan segera dan digantikan dengan papan tanda yang mengandungi tulisan Cina dan Melayu.