BANGI, 5 RABIULAWAL – Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dan RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025, selain sesi penggulungan Menteri Kewangan bagi RUU Perolehan Kerajaan 2025 yang telah dibahaskan oleh 20 Ahli Parlimen semalam, antara agenda utama pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perbahasan RUU Perolehan Kerajaan semalam, sekurang-kurangnya seorang Ahli Parlimen kerajaan dan seorang Ahli Parlimen pembangkang memberi peringatan terhadap penumpuan kuasa di tangan menteri.
Walaupun mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana membentangkan pembaharuan yang dinanti-nantikan tersebut, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata RUU itu masih ada kelemahan serius yang perlu diperbaiki.
Memetik beberapa peruntukan semasa perbahasan untuk bacaan kedua, Ahli Parlimen PKR itu menyuarakan kebimbangan yang draf undang-undang ini memberi kuasa terlalu luas kepada Menteri Kewangan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengesahkan bacaan kedua RUU URA tetap diteruskan meskipun menerima bantahan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil.
RUU URA antara lain mencadangkan ambang baharu, iaitu 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, 75 peratus untuk bangunan melebihi 30 tahun dan 51 peratus bagi bangunan terbengkalai atau tidak selamat.
Kerajaan berhujah langkah ini perlu untuk mempercepatkan pembangunan semula bandar, tetapi pelbagai pihak melahirkan kebimbangan ia akan menjejaskan hak pemilik minoriti serta menghakis kuasa negeri dalam soal tanah.
Empat Menteri Besar negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN), iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sepakat menolak cadangan tersebut kerana akan menejejaskan autonomi negeri.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) turut membantah, iaitu Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Tan Kar Hing (Gopeng), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Lee Chean Chung (Parlimen Petaling Jaya).
Bagi Barisan Nasional (BN), hanya dua Ahli Parlimen dari MCA menyatakan tidak akan menyokong RUU itu, manakala setakat ini tiada Ahli Parlimen dari UMNO dan MIC menyuarakan pendirian mereka.
Sementara itu, RUU Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan untuk Bacaan Pertama pada 25 Ogos lalu, turut dijadualkan untuk Bacaan Kedua hari ini.
RUU ini dianggap bersejarah kerana buat pertama kali Malaysia menggubal undang-undang khusus bagi mengiktiraf status pekerja gig serta melindungi mereka daripada eksploitasi.
Antara elemen utama RUU ini termasuk definisi rasmi pekerja gig, kewajipan entiti platform untuk mematuhi syarat tertentu, penubuhan tribunal bagi menyelesaikan pertikaian, serta caruman keselamatan sosial melalui PERKESO.
RUU tersebut lahir selepas 40 sesi libat urus dengan lebih 4,000 pihak berkepentingan dan 500 maklum balas dalam talian. Penganalisis ekonomi pula yakin caruman PERKESO yang kecil tidak akan membebankan pengguna mahupun pekerja.
Namun ada pihak yang mewakili pekerja gig menolak sekeras-kerasnya RUU itu yang disifatkan sebagai tidak adil, songsang, dan hanya akan melindungi kepentingan syarikat besar.
Mereka memberi amaran RUU itu akan mengurangkan pendapatan bersih, memaksa pekerja gig sambilan dalam sektor e-hailing dan p-hailing untuk berhenti, menghapuskan persaingan, dan “menyerahkan ekosistem kepada monopoli”
Dengan nasib beberapa RUU ini ditentukan pada hari terakhir sidang, semua mata kini tertumpu kepada Dewan Rakyat sama ada kerajaan berjaya meloloskan agenda besar pembangunan semula bandar dan perlindungan pekerja gig, atau terpaksa berdepan kompromi politik akibat tekanan rakyat.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi