SELASA, 2 NOVEMBER – Tidak dinafikan, isu jenama arak ‘Timah’ yang dikeluarkan Winepark Corporation (M) Sdn Bhd menimbulkan keresahan, kelukaan serta bantahan daripada umat Islam di negara ini.
Meskipun pengeluar arak itu memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama serta imej pada label produk keluaran syarikat, namun tindakan pihak tertentu mempertikaikan perkara tersebut menimbulkan tanda tanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, perdebatan mengenai penggunaan nama ‘Timah’ oleh jenama wiski tempatan, yang akhirnya menyebabkan penukaran nama dan gambar pada produk itu bakal membuka ruang kepada muslihat politik mengarah kepada pemikiran tidak rasional.
“Andainya Timah akhirnya menukar nama dan gambarnya, ia akan menjadi detik tewasnya logik dan pemikiran rasional kepada sandiwara dan muslihat politik, Malaysia akan menjadi bahan jenaka di seluruh dunia,” kata beliau.
Tidak bersetuju dengan ulasan itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat mengingatkan pemimpin MCA tersebut untuk tidak sesekali meniru perangai DAP dalam isu arak.
“Kepada pemimpin MCA yang lantang, anda diingatkan jangan cuba mengguris perasaan umat Islam dan cuba meniru sikap serta perangai pemimpin DAP sewaktu isu ‘Festival Arak Better Beer 2017’ dan ‘Oktoberfest 2018’ di Kuala Lumpur dahulu.
“Isu kebejatan gejala sosial dan jenayah akan terus berkembang biak jika industri arak dan premis mungkar ini tidak disekat atau dihapuskan. Rakyat dah banyak bersuara.
“Pemimpin silih berganti memegang jawatan dan kuasa, tapi jika ‘ibu kejahatan’ ini tidak dihapuskan, selagi itulah rakyat dalam bahaya serta negara kita akan terus menerima musibah yang bertimpa-timpa,” katanya.
Pada masa sama, beliau hairan mengapa dalam isu prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 serta vaksinasi, kerajaan begitu bertegas mengawal rakyat.
Namun dalam isu menghapuskan arak, aktiviti judi dan premis maksiat serta mungkar, kerajaan dilihat masih lagi gagal.
Lantaran itu, Ustaz Masridzi mengingatkan pemimpin negara untuk tidak hanya pandai dan hebat dalam bermain kata-kata, sebaliknya membuktikan dengan gerak kerja yang berjaya, sifarkan arak, judi, aktiviti maksiat dan mungkar dalam negara.
“Sampai bilakah perkara ini akan berakhir? Tidak cukupkah lagi musibah yang menimpa kita? Bilakah pemimpin negara kita dapat insaf dan bertaubat kepada Allah SWT?” soalnya.