BANGI, 27 SAFAR – Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Malaysia tidak akan terkesan secara langsung daripada pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95.
“Hanya bukan warga negara serta mereka yang benar-benar berkemampuan akan dikecualikan daripada menerima subsidi,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan mekanisme yang digunakan bagi penyasaran subsidi RON95 termasuk kaedah untuk mengenal pasti golongan mana yang layak menerimanya.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan masih memperhalusi kaedah pemberian subsidi RON95 kepada rakyat, termasuk menggunakan MyKad, aplikasi e-dompet serta aplikasi syarikat minyak.
Kementerian kewangan berkata, pihaknya akan memastikan ikhtiar itu dilaksanakan secara cekap tanpa membebankan rakyat.
“Selaras dengan pengumuman sebelum ini, kerajaan sedang dalam perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian lanjut bakal diumumkan menjelang akhir September ini.
“Sehubungan itu, kerajaan juga sedang memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan.
“Ini termasuk mempelbagaikan mekanisme pelaksanaan meliputi penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi