‘Saya akan lawan dan minta dibicarakan’- Ketua Armada Bersatu

BANGI, 27 SAFAR – Ketua Armada Bersatu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam melalui satu kenyataan yang dimuat naik ke akaun TikTok, bulan lalu.

Muhammad Hilman Idham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.

“Saya akan lawan dan minta dibicarakan,” katanya di kandang tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Hilman, 36, didakwa membuat kenyataan yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam dan mendorong mana-mana orang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kenyataan tersebut dimuat naik menerusi akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’ dan dilihat serta didengar oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 30 Julai lalu jam 2.09 petang.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

“Tertuduh merupakan seorang wakil rakyat yang dikenali ramai dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Beliau mencadangkan jaminan pada kadar RM3,000 tanpa syarat tambahan bagi membolehkan tertuduh terus menjalankan tugas sebagai ADUN.

Selain Muhammad Rafique, tertuduh turut diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti kertas siasatan berhubung kenyataan yang dimuat naik Muhammad Hilman, sebelum memutuskan untuk mendakwa beliau.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kerajaan jamin 85 peratus rakyat tidak terkesan penyasaran subsidi RON95

Next Post

Pelajar Tingkatan Tiga cedera dipukul, nyaris dijerut dawai

Related Posts