BANGI, 25 SAFAR – Buli di sekolah sudah menjadi satu budaya yang buruk di Malaysia, malah ia berlaku lebih kerap daripada yang disangka.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, anak-anak remaja dan belia Malaysia tidak seharusnya merasa takut untuk ke sekolah atau ke universiti kerana terpaksa menghadapi ‘seksaan’ oleh rakan sebaya mereka.
Baginda bertitah, ibu bapa juga tidak sepatutnya perlu bimbang tentang keselamatan anak-anak di sekolah, sedangkan mereka sudah cukup terbeban dengan masalah kewangan dan keluarga sedia ada.
“Sekolah dan institusi pendidikan termasuk universiti sepatutnya menjadi tempat anak-anak kita berasa selamat.
“Namun hakikatnya, tempat itu menjadi mimpi ngeri bagi pelajar yang menjadi mangsa buli dan rakan sebaya,” titah baginda menerusi penulisan blog semalam.
Baginda bertitah, berita mengenai insiden buli dan kesannya yang tragis terus meruntun hati semua sejak bertahun-tahun lagi.
Menyenaraikan beberapa contoh, baginda mengingatkan insiden pada 2017 melibatkan, Zulfarhan Osman Zulkifli, seorang kadet tentera laut yang meninggal dunia akibat kesan lecur pada tubuhnya.
Baginda bertitah, pada tahun sama, seorang lagi mangsa T. Nhaveen dari Georgetown meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepalanya.
“Mengapa ada antara mangsa buli memilih untuk menyimpan penderitaan mereka sendiri?
“Saya difahamkan bahawa antara sebab pelajar enggan mendedahkan identiti pembuli ialah kerana mahu melindungi rakan-rakan mereka – jika mereka melaporkan tentang pembuli, rakan-rakan mereka pula akan menjadi sasaran.
“Maka mereka memilih untuk berdiam diri,” titahnya.
Mengulas lanjut, Baginda menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua sebagai masyarakat untuk memastikan setiap nyawa yang terkorban akibat kes buli tidak berakhir dengan sia-sia.
“Adakah kita mengabaikan perkara ini hanya kerana ia tidak berlaku kepada anak kita sendiri?
“Haruskah seorang lagi remaja atau belia mati dengan derita sebelum kita berkata cukup?
“Berapa ramai lagi ibu bapa dan keluarga harus menanggung derita dan pilunya kehilangan insan tersayang?
“Jika kita benar-benar ingin dikenali sebagai sebuah masyarakat ‘penyayang’, maka sudah tiba masanya kita menjawab soalan-soalan ini,” titah baginda.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi